Pelakon Ezzanie Jasny mendedahkan terdapat beberapa akaun palsu yang menyamar sebagai dirinya dan menggunakan identiti peribadi serta gambar ahli keluarganya tanpa kebenaran.
Pendedahan itu dibuat menerusi satu hantaran di Instagram, Ezzanie menjelaskan akaun-akaun terbabit menyebarkan kenyataan palsu.
Tambahnya, keadaan menjadi semakin serius apabila wujud ancaman secara langsung terhadap keluarganya, termasuk mesej mengganggu yang dihantar kepada adiknya.
“Terdapat beberapa akaun palsu yang menyamar sebagai saya, menggunakan gambar peribadi serta gambar ahli keluarga saya tanpa kebenaran.
“Akaun-akaun ini telah menyebarkan kenyataan palsu dan mengelirukan berkaitan agama, malah telah turut serta dalam sesi langsung, forum, dan ruangan komen dengan cara yang langsung tidak mewakili saya.
“Perkara ini semakin serius apabila terdapat ugutan secara langsung terhadap keluarga saya, termasuk mesej yang dihantar kepada adik perempuan saya,” katanya dalam hantaran di Instagram.
Tegasnya hantaran dibuat sebagai penjelasan dan amaran rasmi kepada umum, selain memberi jaminan bahawa sebarang perbuatan penyamaran, fitnah, gangguan atau ugutan akan direkodkan dan diambil tindakan sewajarnya.
“Perkongsian ini bukan untuk mencetuskan drama, sebaliknya untuk meningkatkan kesedaran dan melindungi keluarga saya,” katanya.
Jelas Ezzanie, sebarang komen, siaran langsung atau kenyataan yang tidak sesuai menerusi akaun terbabit bukan datang daripadanya dan meminta orang ramai agar lebih berhati-hati.
Baca juga: Tuan rumah kena tahu undang-undang ini, peguam ulas isu Nubhan dan Dr Afifah