Tuan rumah kena tahu undang-undang ini, peguam ulas isu Nubhan dan Dr Afifah

Oleh WAN SITI AMINAH

Peguam dan pempengaruh, Nur Aminahtul Mardhiah tampil mengulas isu hangat melibatkan penyanyi iaitu Nubhan yang memasuki kediaman dan memindahkan barangan milik bekas isterinya tanpa kebenaran.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform TikTok, Nur Aminahtul menjelaskan bahawa Nubhan selaku pemilik tidak boleh terus mendiami rumah berkenaan selepas menceraikan isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.

Sebaliknya pemilik nama sebenar Ahmad Nubhan Ahamad itu perlu melalui prosedur mahkamah terlebih dahulu mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 7 (2) Akta Relief Spesifik 1950.

Sekiranya tiada permohonan dibuat mahupun belum mendapatkan perintah mahkamah, tindakan Nubhan memasuki rumah tersebut dan memindahkan barang boleh dikira sebagai satu bentuk pencerobohan.

“Situasi ini sama dengan pemilik dan penyewa rumah. Jika Nubhan selaku pemilik nak mendiami semula rumah tersebut, dia perlu melalui prosedur mahkamah. Dia mesti membuat permohonan dan mahkamah perlu meluluskan terlebih dahulu.

“Selepas itu, barulah dia boleh masuk untuk mendiami rumah tersebut semula. Samalah dengan pemilik rumah yang menyewakan kediaman mereka. Kalau kontrak habis dan penyewa tak nak keluar. Selepas dapatkan perintah mahkamah, pemilik boleh menghalau penyewa keluar.

“Jadi prosesnya perlu dipatuhi. Kena ada permohonan dibuat kepada mahkamah. Apabila tak buat permohonan, maka dalam keadaan tersebut itu adalah satu tindakan pencerobohan. Anda sudah masuk secara salah,” jelas peguam terbabit.

Situasi itu juga boleh menjadi satu kesalahan jenayah jika terbukti di mahkamah bahawa pemilik kediaman telah mengakibatkan kehilangan barang kepunyaan penyewa sebagai contohnya perhiasan emas dan sebagainya.

Berbalik kepada isu penceraian, Nubhan juga tidak boleh masuk ke rumah itu sekiranya kediaman tersebut menjadi salah satu subjek kepada tuntutan harta sepencarian selagi kes berkenaan tidak diselesaikan di mahkamah.

“Selain daripada pencerobohan, laporan polis juga boleh dibuat atas kehilangan barang-barang yang merupakan milik penyewa ataupun orang yang menetap di rumah tersebut. Jadi itu adalah satu kesalahan jenayahlah. Curi contohnya.

“Jadi harapnya kalau ada barang hilang, polis akan buat tindakan jenayah sebab itu adalah satu tindakan yang melanggar hak seseorang yang menetap rumah tersebut apabila barangnya hilang.” Ujarnya yang mengulas isu tersebut daripada sudut perundangan.

Baca juga: Wanita pulangkan semula wang hampir RM1 juta yang tiba-tiba masuk ke akaun