Seorang lelaki warga emas dilaporkan ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah tanah perkuburan Cina di Jalan Lumba Kuda, Kota Sentosa, Kuching, Sarawak semalam dengan beberapa kesan tikaman di badan.
Penemuan itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi yang memberitahu bahawa seorang lagi lelaki berusia 34 turut ditemui dan didapati mengalami kecederaan parah.
Menurut Mohd Irwan, pihaknya menerima laporan sekitar pukul 12.40 tengah hari semalam mengenai penemuan dua lelaki yang dijumpai di tanah perkuburan berkenaan dalam keadaan cedera, lapor Berita Harian.
Bertindak atas laporan yang diterima, pihak polis segera bergerak ke lokasi kejadian sebelum menemui mangsa yang maut dengan kesan tikaman manakala seorang lagi lelaki mengalami kecederaan parah.
“Polis yang bergegas ke lokasi menemui lelaki berusia 67 tahun dengan beberapa kesan tikaman di badan dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Seorang lagi lelaki yang ditemui cedera parah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak untuk mendapat rawatan,” katanya berhubung penemuan itu memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Irwan menjelaskan bahawa kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha untuk memburu suspek disyaki terbabit dalam kejadian tersebut sedang giat dijalankan oleh pihak polis.
Dalam pada itu, motif kejadian juga masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian pula disarankan untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Sylvarius Gopog.
“Asisten Superintendan Sylvarius Gopog boleh dihubungi di talian 013-8637241 atau Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.” Ujarnya dalam kenyataan itu.
Baca juga: Kenderaan asing isi RON95, pengusaha stesen minyak dikenakan tindakan