Kenderaan asing isi RON95, pengusaha stesen minyak dikenakan tindakan

Oleh MAISARAH AISYA

Tular video di media sosial pemilik kenderaan bernombor plat Singapura yang didakwa mengisi petrol RON95.

Bukan hanya itu, individu berkenaan turut menutup dua huruf pada nombor plat menggunakan pita pelekat hitam, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai niat sebenar pemiliknya.

Disebabkan itu, pengusaha stesen minyak di Kulai akan dikenakan tindakan selepas membenarkan kenderaan asing mengisi petrol RON95 lapor Harian Metro.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo memaklumkan tindakan diambil selepas siasatan pihaknya.

Siasatan tersebut mendapati pengusaha stesen minyak melakukan pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Jelasnya, siasatan turut dijalankan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak

Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 10.36 malam Jumaat (2 Jan) dengan pembelian tidak membabitkan pengesahan identiti di kaunter.

“Daripada semakan transaksi, hanya sebahagian daripada jumlah pembelian berjaya diisi sebelum pengisian dihentikan sepenuhnya.

“Kes akan disiasat di bawah AKB 1961, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi pesalah individu.

“Jika pesalah membabitkan syarikat, boleh didenda sehingga RM2 juta, manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda sehingga RM5 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Baca juga: Siap tampal tape hitam, kereta nombor plat Singapura kantoi isi RON95