Bekas CEO Darsa Fried Chicken jawab dakwaan restoran tutup sebab isu perkauman

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah restoran makanan segera, Darsa Fried Chicken di cawangan Bangi dilaporkan telah pun ditutup selepas lebih setahun beroperasi.

Khabar mengenai penutupan restoran itu berlegar di media sosial selepas pelanggan tertanya mengapa sudah lebih seminggu kedai tidak dibuka.

Gambar dikongsi di laman kumpulan Pekan Bangi memaparkan keadaan di hadapan kedai yang dipenuhi kerusi dan meja, mengundang tanda tanya ramai.

Di hadapan kedai juga tergantung kain rentang iklan sewa.

Darsa Fried Chicken dibuka ketika fenomena boikot sedang hangat digerakkan dalam kalangan masyarakat terhadap restoran-restoran makanan segera.

Di awal pembukaannya, restoran berkenaan mencetuskan kontroversi berkaitan komen “type C” di laman Facebook mereka yang dianggap rasis dan mencetus kemarahan orang ramai.

Sementara itu, menurut bekas CEO DFC, Mohammad Faiz Zuhdi, penutupan restoran berkenaan sama sekali tidak berkait dengan isu perkauman.

Hakikat sebenar kata beliau, jauh lebih kompleks dan lebih menyedihkan, namun ia bukan lagi urusannya. 

“Secara peribadi, saya menolak keras sentimen perkauman dijadikan asas perniagaan, kerana ia bertentangan dengan pegangan saya sebagai seorang Muslim dan sebagai rakyat Malaysia. 

“Saya mempunyai rakan-rakan berbangsa Cina dan India yang sentiasa memberi sokongan kepada saya dan DFC, termasuk ketika isu tersebut hangat dahulu. Mereka memahami bahawa kesilapan individu di bawah seliaan tidak mewakili pendirian keseluruhan organisasi,” ujarnya dalam perkongsian di Facebook.

Pada masa sama, beliau berkata, kepada rakyat Malaysia yang masih marah kepadanya berhubung isu perkauman yang berlaku di bawah seliaan beliau pada ketika itu, beliau sekali lagi memohon maaf atas ketelanjuran pentadbir halamannya.

Baca juga: ‘Red Flag, air liur boleh jatuh atas makanan’ – PHM tegur peniaga sibuk bercakap masa berniaga