Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan sehingga RM200 akan mula dikreditkan ke dalam MyKad penerima secara berperingkat bermula 9 Januari ini.
Perkara tersebut dikongsikan dalam perhimpunan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini.
“SARA bulanan sehingga RM200 akan mula dikreditkan ke dalam kad pengenalan secara berperingkat mulai 9 Januari ini.
“Bayaran STR Fasa Satu sehingga RM500 akan dikreditkan bermula 20 Januari ini,” jelasnya dalam siaran langsung.
Menurut Anwar, pelaksanaan SARA pada tahun lalu mencatatkan penggunaan yang sangat tinggi apabila 96 peratus rakyat memanfaatkan bantuan tersebut, dengan jumlah perbelanjaan mencecah hampir RM2.1 bilion.
“Tahun lalu, SARA digunakan oleh 96 peratus rakyat dengan jumlah hampir RM2.1 bilion
“Manakala yang tidak dibelanjakan ada kira-kira RM150 juta dan seperti yang saya janjikan, duit itu tidak diambil oleh kerajaan,” tegasnya.
Tambah beliau, baki berkenaan akan diagihkan semula kepada golongan yang memerlukan melalui beberapa kementerian dan agensi berkaitan.
“Kita akan serahkan dan agihkan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga, pelajar OKU dan keperluan khas, pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin, dan bank makanan dapur siswa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar mengumumkan SARA one-off bagi tahun ini akan dikreditkan bermula 9 Februari 2026 bagi membantu persiapan perayaan dan keperluan awal tahun.
“SARA one-off tahun ini diberikan kepada semua rakyat, RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
“Kita kreditkan pada 9 Februari 2026 dengan maksud persiapan Ramadan dan juga sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Baca juga: Individu dakwa berjaya tempah 7 tempat duduk di Rembayung, nak jual RM150 setiap satu?