Tuan rumah murah hati belanja sewa satu bulan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang penyewa berkongsi kisah menyentuh hati apabila pemilik rumahnya bermurah hati mengecualikan bayaran sewa untuknya dan isteri sebagai persiapan menyambut kelahiran cahaya mata tidak lama lagi.

Menerusi perkongsian di Threads, individu dikenali sebagai @amrulbukanamirul berkata, pemilik rumahnya menghantar mesej WhatsApp yang menyatakan dia tidak perlu membayar sewa bulan hadapan kerana memahami banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan untuk menyambut kelahiran bayi.

Kata individu itu, tindakan tuan rumahnya adalah hadiah istimewa menjelang kelahiran anak mereka.

“Penutup 2025. Alhamdulillah. Dikelilingi orang yang baik-baik juga satu rezeki yang tak boleh dilepas pandang. Alhamdulillah ya Allah,” tulisnya.

Sementara itu di ruangan komen, ramai berkongsi pengalaman masing-masing mengenai kebaikan pemilik rumah yang bersikap pemurah dan tidak berkira.

Mereka mengenang sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada tuan rumah yang baik hati tidak mengambil sewa selama dua bulan kerana memahami ramai yang berhenti kerja pada waktu itu.

Baca juga: Semua penumpang diarah untuk keluar, MRT berasap berpunca dari bateri telefon?