Semua penumpang diarah untuk keluar, MRT berasap berpunca dari bateri telefon?

Oleh MALAYSIADATELINE

Satu rakaman memaparkan keadaan di bahagian dalam pengangkutan awam Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) di laluan Kajang telah berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, pengangkutan tersebut dilihat dipenuhi dengan kepulan asap sehingga semua penumpang tidak dapat meneruskan perjalanan dan diarahkan untuk turun apabila MRT berkenaan berhenti di Stesen Semantan.

Kejadian itu difahamkan berpunca daripada sebuah telefon bimbit milik penumpang yang mana baterinya dipercayai terbakar sehingga mengeluarkan ketulan asap dan dibiarkan sahaja di lantai MRT.

Rakaman itu dikongsikan oleh salah seorang penumpang yang meluahkan rasa lega kerana pihak pengurusan MRT dapat menangani isu tersebut dengan pantas sehingga tiada situasi panik berlaku.

“Perjalanan pagi terganggu. Bateri telefon berasap dalam MRT. Semua orang terpaksa keluar di Stesen Semantan dan menunggu kereta api seterusnya. Petugas MRT beri tindak balas segera.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang betul sehingga tiada panik. Pengendalian 10 per 10,” tulis penumpang itu menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads bersama rakaman kejadian.

Menurutnya, kakitangan yang berada di dalam tren MRT tersebut juga bertindak dengan pantas mengambil alat pemadam api sekali gus menunjukkan profesionalisme mereka sewaktu menjalankan tugas.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna mempersoalkan kualiti peranti tersebut sehinggakan ramai membuat andaian bahawa telefon bimbit berkenaan kemungkinan barangan tiruan.

Ramai juga pengguna mengakui rakaman tersebut tidak ubah seperti babak di dalam filem Hollywood bertemakan perisik dan mereka berseloroh bahawa pemilik telefon itu mungkin sudah menyelesaikan misinya.

Baca juga: Perak laksana larangan lesen vape, pengusaha diberi tempoh hingga Oktober untuk henti jualan