Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik serta menyokong penuh Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya berkaitan agenda keterjaminan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, amanat berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta memelihara kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri berhubung pengecualian cukai jualan kadar sifar (0 peratus) ke atas input pengilang berdaftar bagi industri makanan ternakan, baja dan racun serangga disifatkan sebagai satu ‘durian runtuh’ kepada sektor pertanian.
“Inisiatif ini amat dinantikan oleh pemain industri kerana ia berpotensi mengurangkan kos pengeluaran.
“Ini sekali gus memastikan harga produk pertanian kekal mampu milik dan menyokong keselamatan makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyambut baik komitmen Kerajaan MADANI untuk meneruskan pelaksanaan 5,000 Jualan Agro MADANI (JAM) pada tahun ini.
“Kementerian turut menyambut baik komitmen Kerajaan MADANI untuk meneruskan pelaksanaan 5,000 Jualan Agro MADANI (JAM) pada tahun ini.
“Program ini terbukti berkesan dalam membantu meringankan kos sara hidup dengan memudahkan rakyat mendapatkan bekalan produk segar dan barangan keperluan asas pada harga yang lebih rendah berbanding pasaran,” jelasnya.
Tegas beliau, KPKM akan kekal komited melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara secara menyeluruh, selaras dengan dasar serta hala tuju kementerian.
Baca juga: Semua penumpang diarah untuk keluar, MRT berasap berpunca dari bateri telefon?