Kutipan parkir RM3 kerja haram, ulat parkir Pantai Klebang ‘lesap’ selepas tular

Oleh MAISARAH AISYA

Tular di media sosial, pengunjung Pantai Klebang dikenakan caj RM3 untuk parkir kenderaan minggu lalu.

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengesahkan bahawa kutipan parkir tersebut dilakukan secara haram.

Menurut Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, kutipan itu disyaki dilakukan oleh ‘ulat parkir’ lapor Kosmo! Online.

Jelasnya, pihaknya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengenakan sebarang bayaran kepada pengunjung.

“Hasil siasatan mendapati kutipan RM3 itu dilakukan individu yang tidak mempunyai permit atau lesen sah daripada MBMB. Ia bukan caj masuk ke Pantai Klebang seperti yang disangka ramai.

“Anggota penguat kuasa MBMB turun ke lokasi malam tadi bagi menjalankan pemeriksaan, namun tiada kelibat ‘ulat parkir’,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Shahdan memaklumkan ia merupakan aduan pertama diterima di kawasan pelancongan di Pantai Klebang.

Bagaimanapun, isu sama pernah dilaporkan di beberapa lokasi lain sekitar pusat bandar, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

“Mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti kutipan parkir perlu mendapatkan permit dan lesen daripada MBMB.

“MBMB menasihatkan pengunjung supaya tidak membayar caj parkir tanpa lesen yang sah.

“Pemantauan dan operasi penguatkuasaan akan terus dibuat bagi membanteras aktiviti kutipan parkir haram di kawasan tumpuan pelancong,” jelasnya.

Baca juga: Ibu hamil dakwa doktor pulas telinga depan pesakit lain, diperli sebab tak jaga jarak anak