Terlepas pandang bayaran jurusolek sejak 2019, Mimi Lana tampil mohon maaf

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon popular Mimi Lana tampil memohon maaf secara terbuka susulan tular satu hantaran yang didakwa merujuk kepada dirinya berhubung isu bayaran tertunggak kepada seorang jurusolek dikenali sebagai Aizat.

Menerusi hantaran di Threads, Mimi Lana atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin mengakui individu yang dimaksudkan dalam hantaran berkenaan adalah dirinya.

Malah pelakon berusia 31 tahun itu juga menjelaskan perkara berkenaan berlaku akibat terlepas pandang mesej peringatan yang dihantar sejak 2019.

“Saya nampak thread awak dan saya tahu awak bercakap tentang saya sebab memang saya yang komen pada individu tersebut. Saya juga ingat beberapa kali awak pernah makeup saya.

“Maafkan saya, tadi saya baru semak direct message (DM) dan ada satu mesej peringatan daripada awak untuk bayaran RM200 sejak 2019,” katanya hantaran di Threads.

Menurut Mimi Lana, perkara tersebut tidak disengajakan dan dia sendiri tidak menyedari bayaran itu masih belum diselesaikan sehingga isu berkenaan dibangkitkan semula.

“Saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki sebab terlepas pandang perkara ini. Terima kasih atas peringatan ini, kalau tidak saya pun sudah tak ingat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mimi Lana turut menegaskan bahawa setakat ini dia tidak pernah berniat untuk tidak membayar mana-mana jurusolek yang pernah bekerja dengannya.

Sebaliknya urusan bayaran biasanya diuruskan oleh pembantu peribadi (PA) atau pengurusnya.

Tegasnya walaupun jumlah tersebut mungkin kecil baginya, namun ia besar nilainya kepada individu yang telah menjalankan tugas.

“Setakat ini saya tak pernah lagi tak bayar mana-mana makeup artist. Jika ada isu bayaran, tolong hubungi PA saya.

“Kadang-kadang ada perkara yang terlepas pandang dan selalunya pembayaran akan diselesaikan oleh PA atau pengurus.

“Walaupun jumlahnya kecil bagi kami, tapi besar bagi orang yang dah bekerja. Tak sepatutnya berlaku. Saya minta maaf sekali lagi,” kongsinya.

Mimi turut meminta Aizat menghubungi pembantu peribadinya bagi tujuan penyelesaian bayaran dan pengesahan nombor akaun.

Baca juga: Chazynash tak jadi tarik balik muta’ah, mohon henti kecaman terhadap diri dan bekas isteri