Pempengaruh, Chazynash tampil membuat permohonan maaf susulan mengeluarkan kenyataan untuk menarik semula pemberian muta’ah kepada bekas isterinya, Fatin Morat baru-baru ini.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, pempengaruh terbabit memaklumkan bahawa dirinya secara terbuka menerima teguran diberikan orang ramai berhubung kenyataan kontroversinya sebelum ini.
Pemilik nama sebenar Syed Fernarsh Syed Badlishah itu juga sudah reda dengan perkara yang telah berlaku selain turut membatalkan niatnya untuk menuntut semula pemberian muta’ah atau hadiah kepada bekas isterinya.
Sehubungan dengan itu, Chazynash memohon orang ramai untuk menghentikan segala kecaman yang ditujukan terhadap dirinya sendiri mahupun bekas isteri di platform media sosial berhubung isu tersebut.
Dalam perkongsian sama, pempengaruh itu menjelaskan bahawa keputusan pemberian mutaah tersebut bukanlah dibuat melalui proses mahkamah sebaliknya atas persetujuan bersama dalam perbincangan secara peribadi.
“Kalau saya sudah beri duit muta’ah ini, janganlah awak (Fatin) tuntut harta sepencarian lagi. Kami berbincang secara elok-elok masa itu sebab penat kalau naik turun mahkamah. Dia setuju, selagi saya tak culas nafkah anak-anak.
“Perjanjian itu dibuat dengan niat untuk menyelesaikan perkara ini secara damai tanpa memanjangkan urusan dan keletihan berulang-alik ke mahkamah. Namun, saya akui bahawa cara dan bentuk persetujuan tersebut adalah kelemahan di pihak saya sendiri.
“Sayangnya ia tidak berjalan seperti yang diharapkan. Saya mohon, janganlah kecam saya atau dia dalam hal ini. Duit hadiah atau muta’ah tersebut, saya tak jadi nak tuntut semula,” katanya dalam hantaran dikongsikan di akaun Threads miliknya itu.
Chazynash juga tidak lupa mengirimkan doa agar bekas isterinya sentiasa berada dalam keadaan baik-baik sahaja selain mahu meneruskan kehidupan dengan tenang bersama anak-anak dan isteri barunya selepas ini.
Terdahulu, pempengaruh itu mengeluarkan kenyataan mahu menarik semula pemberian muta’ah kepada Fatin kerana bekas isterinya telah melanggar perjanjian dibuat mereka sebelum ini dengan menuntut harta sepencarian.
Difahamkan syarat utama di dalam perjanjian itu adalah Fatin tidak boleh mengganggu kehidupan Chazynash ataupun menuntut sebarang harta sepencarian selepas menerima mutaah yang dikatakan bernilai RM100,000.
Pempengaruh itu turut menyifatkan tindakan menuntut harta sepencarian selepas menerima muta’ah sebagai tamak sekali gus menuai kecaman ramai kerana kedua-dua perkara tersebut adalah hak isteri selepas bercerai.
Sekadar info, Chazynash dan Fatin Morat mendirikan rumah tangga pada tahun 2014 dan dikurniakan dengan kehadiran tiga cahaya mata perempuan sebelum mereka memutuskan untuk berpisah pada 23 Januari 2025.
Pempengaruh terbabit kembali mengejutkan ramai pihak dengan penularan gambar pernikahan bersama wanita pilihannya yang dikenali sebagai Sity Rosli pada 8 Januari lalu sekali gus menamatkan zaman dudanya.