Kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha mempertahankan kestabilan politik Malaysia sepanjang mentadbir Kerajaan Perpaduan sememangnya harus diakui.
Perkara itu dimaklumkan oleh Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang menekankan kepentingan menjaga kestabilan politik meskipun ia adalah perkara asas di dalam pentabiran negara.
Menurut Shahrul, masyarakat kini tidak perlu risau untuk menghadapi pelbagai perubahan setiap kali pentadbiran kerajaan ditukar seperti mana yang pernah berlaku dalam kepimpinan terdahulu.
Shahril juga mengakui bahawa Anwar berhasil memulihkan kembali reputasi Malaysia di pentas antarabangsa malah turut terlibat dalam urusan diplomasi berhubung hal ehwal serantau secara proaktif.
“Beliau berjaya menstabilkan politik. Walaupun nampak macam perkara asas, tetapi ia tiada sebelum ini. Jadi kita bersyukur apabila kestabilan politik itu ada, tak perlu risau lagi dengan isu kerajaan bertukar. Manakala segi politik antarabangsa pula, beliau berjaya mengembalikan perasaan bangga rakyat Malaysia.
“Kali terakhir kita rasa macam itu ketika pentadbiran Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dalam penggal pertama. Ini sebelum kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlaku. Selepas jadi kes, kita nak pergi luar negara risau dengan pandangan orang. Kita juga rasa berbangga sewaktu penggal pertama pentadbiran Tun Dr Mahathir.
“Ketegasan beliau dalam isu-isu tertentu buat kita dikenali satu dunia. Saya rasakan di bawah pentadbiran Anwar, kita sudah kembali kepada persepsi sebegitu. Walaupun tidak secara sepenuhnya, sebab dunia juga sudah berubah. Tak boleh dibandingkan dahulu dengan sekarang. Belum 100 peratus, tetapi kebanggaan itu ada,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahril berpandangan bahawa perkara ini dapat dicapai dengan kemahiran Anwar yang juga Menteri Kewangan itu dalam artikulasi ucapan terutama ketika berbahasa Inggeris hingga meraih perhatian dunia.
Beliau yang juga Bekas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata sedemikian dalam program audio siar atau ‘podcast’ disiarkan di platform Youtube iaitu Jangan Pajak Otak dikendalikan oleh peguam, Liyana Marzuki.
“Dari segi perlaksanaan dasar, keberanian beliau untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol juga patut dipuji. Perlaksanaan inisiatif BUDI95 itu boleh dikatakan sangat berjaya. Sebab sebelum ini orang ramai risau tentang isu penggunaan kad pengenalan untuk menebus subsidi. Tetapi semuanya berjalan dengan baik.
“Itu mungkin dasar utama paling dekat dengan rakyat yang telah dilaksanakan. Harga minyak juga turun. Jadi tiada rungutan. Ada juga dasar baharu yang menyentuh ekonomi mikro dari segi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), industri semi konduktur dan sebagainya.” Ujarnya.
Baca juga: MAIS dedah ada NGO tunggang nama tahfiz untuk kutip derma orang ramai