Tular video pelancong ‘interview’ Ayden Adrean, netizen puji cara didikan Bella Astillah

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar iaitu Syed Saddiq kembali menyahut cabaran buat kali kedua untuk mendaki Gunung Kinabalu, Sabah lengkap berpakaian tradisional Melayu.

Ekspedisi kali ini bagaimanapun menjadi lebih istimewa apabila turut disertai anak sulung Bella, Ayden Adrean di mana kanak-kanak itu kelihatan begitu teruja menerusi beberapa video yang beredar di media sosial.

Terbaharu, tular satu rakaman dimuat naik oleh seorang pelancong asing yang turut mendaki Gunung Kinabalu memaparkan dirinya menemu bual Ayden dipercayai di sebuah lokasi persinggahan pendaki.

Pelancong terbabit memaklumkan bahawa Ayden telah mengalahkannya di dalam aktiviti pendakian meskipun masih muda sebelum meminta kanak-kanak berkenaan memperkenalkan dirinya.

Menerusi rakaman berdurasi satu minit 24 saat itu, Ayden kemudian memaklumkan dirinya berusia sembilan tahun serta berasal dari tiga ‘negara’ atau lokasi iaitu Singapura, Sabah dan Kuala Lumpur.

“Nama saya Ayden Adrean. Saya berasal daripada tiga negara (lokasi). Saya berasal dari Singapura, Sabah dan Kuala Lumpur. Tahun ini saya berusia sembilan tahun,” kata Ayden dalam rakaman dimuat naik di TikTok itu.

@terrypernell

Met this absolute legend while climbing Mount Kinabalu. Calm, steady pace… and somehow he smoked me 😅 Travel reminds you real quick: strength isn’t always about age. Moments like this > any summit photo. MMountKinabaluKKinabaluClimbSSabahMalaysiasuterasanctuarylodges #TravelWithTerryP @Sutera Sanctuary Lodges

♬ original sound – TravelWithTerryP🇺🇸➡️🇲🇾Asia

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 391,000 tontonan dan 30,700 tanda suka di mana tinjauan mendapati ramai rakyat Malaysia sudah membanjiri ruangan komen hantaran berkenaan.

Rata-rata pengguna berkongsikan kekaguman mereka kerana jawapan Ayden membuktikan bahawa Bella tidak pernah mengajarkan perkara negatif kepada anaknya mengenai bapanya iaitu selebriti Singapura, Aliff Aziz.

Ramai juga pengguna TikTok memberi kata-kata pujian kepada Ayden kerana kanak-kanak terbabit dilihat petah berbicara dalam bahasa Inggeris dan tidak kekok melayani pelancong asing berkenaan.

“Apabila Ayden cakap Singapura, Bella sudah mendidik anaknya dengan baik. Walaupun banyak perkara yang Aliff sudah lakukan kepadanya, Bella tidak mengajar anaknya untuk membenci bapa mereka,” kata seorang pengguna.

“Tengok, Bella didik Ayden untuk tidak melupakan asal usul bapa dia. Alhamdulillah.” Kongsi pengguna lain yang turut mengagumi sikap kanak-kanak terbabit serta cara didikan Bella Astillah.

Terdahulu, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkongsian hidup bersama, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna yang kini berusia enam tahun.

Pasangan itu pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan namun rujuk semula dalam tempoh idah sebelum kembali berpisah secara sah pada 13 Jun tahun lalu.

Baca juga: Pelakon gagal dikesan selepas tiba di Jeddah, sempat beritahu bertemu individu tidak dikenali