Semua keputusan perolehan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah akan dibekukan sementara bagi memastikan peraturan proses dipatuhi sepenuhnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa tindakan sedemikian diambil oleh kerajaan bagi membolehkan keputusan perolehan diteliti serta disusun semula.
Beliau menegaskan bahawa langkah itu sangat penting kerana masih wujud budaya yang memandang ringan isu rasuah malah ada juga pihak didapati mempertahankan perbuatan berkenaan.
Perkara ini termasuklah ketika tindakan diambil terhadap bekas pemimpin yang memiliki kekayaan mencecah berbilion ringgit di mana mereka sukar memberikan kerjasama, lapor Berita Harian.
“Di Parlimen umpamanya, apabila tindakan diambil terhadap mantan-mantan menteri yang ada kekayaan berbilion (ringgit), kadang-kadang kita disanggah dan tidak diberikan kerjasama.
“Budaya buruk dan merosakkan ini mesti diperbaiki segera,” katanya memetik laporan Berita Harian ketika ditemui oleh pihak media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menekankan bahawa kerajaan tidak masuk campur dalam urusan penyiasatan namun pembanterasan rasuah juga memerlukan tekad politik serta kerjasama daripada seluruh rakyat.
Justeru itu, pihaknya kini menunggu laporan terperinci berhubung kelompongan atau kelemahan dalam sistem sedia ada termasuk ruang kelulusan perbelanjaan bernilai kecil yang mudah disalahgunakan oleh jabatan tertentu.
“Kefahaman mengenai kesan buruk rasuah perlu diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat. Kerajaan tidak campur tangan dalam urusan penyiasatan, namun memandang serius perkembangan berkaitan rasuah.
“Kerana kegagalan mengambil tindakan tegas secara menyeluruh boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi dan kehidupan rakyat. (Sebagai contohnya) Jika RM10 juta atau RM20 juta diambil secara tidak sah.
“Wang itu sepatutnya kembali kepada kerja-kerja pasukan tentera pada peringkat bawahan atau projek-projek kecil yang memberikan manfaat terus kepada rakyat,” jelasnya berhubung keputusan itu.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dilaporkan merancang rombakan besar-besaran pelan antirasuah tahun ini termasuk menyemak semula keseluruhan proses tender dan perolehan selaras amalan terbaik tadbir urus.
Usaha dilakukan dengan tujuan untuk membanteras masalah ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kementerian tersebut yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi pertahanan negara.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyita barangan berjumlah RM11.4 juta dari dua kediaman bekas Panglima Tentera Darat (PTD) termasuk sebuah ‘rumah rahsia’ di Kuala Lumpur.
Tindakan sitaan itu membabitkan wang tunai RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, seunit kereta Range Rover SVR yang dianggarkan bernilai RM360,000 serta 26 unit jam tangan mewah (RM2.3 juta).
Turut disita adalah barang kemas bernilai RM294,039.90, dua bentuk cincin berlian (RM20,000), jongkong emas 3.7 kilogram (RM2.5 juta), medalion emas 150 gram (RM102,000) dan dua dinar emas seberat 8.5 gram (RM5,780).
Baca juga: Pagi-pagi dah ‘banjir’, rider gigih bekerja sambil bawa bayi seawal pagi