Platform media sosial baru-baru dihujani dengan banyak rakaman memaparkan situasi guru memujuk anak-anak murid yang menangis apabila ‘ditinggalkan’ oleh ibu bapa mereka di sekolah rendah mahupun tadika.
Meskipun rakaman tersebut berjaya menghiburkan orang ramai dengan gelagat lucu kanak-kanak, namun ada juga segelintir pihak terutama golongan bapa yang bertindak meninggalkan komen berlebihan.
Walaupun hanya berniat untuk bergurau, namun komen seperti mahu menggantikan anak-anak mereka hadir ke sekolah agar dapat dipujuk oleh guru-guru muda sudah tentunya dilihat seperti kurang sopan.
Isu ini turut menarik perhatian seorang bekas guru yang pernah menghadapi pengalaman sedemikian malah di kehidupan nyata apabila didekati oleh bapa kepada anak muridnya di sebuah tadika.
“Apabila tengok rakaman cikgu tadika yang tular dengan komen bapa-bapa yang serupa tiada adab itu, saya boleh cakap perkara sedemikian memang nyata. Pada tahun 2014, saya pernah menjadi guru tadika di Ipoh.
“Ada seorang bapa ini selalu tanya tentang anak dia. Satu hari, anak dia datang dekat saya waktu makan tengah hari. Katanya, ‘Teacher, Daddy suruh tanya. Teacher nak jadi Mommy saya? Daddy suka Teacher’.
“Dalam hati aku, bapa manalah cakap benda macam ini dengan anak. Bapa-bapa yang perangai miang seperti itu memang tak tahu malu. Dia boleh cakap di depan anak benda-benda yang tiada moral macam ini,” kesalnya.
Sejak kejadian itu berlaku, wanita berkenaan mengakui bahawa pandangannya terhadap bapa terbabit berubah selain turut merasa sangat bersimpati terhadap ibu murid ataupun isteri kepada lelaki tersebut.
Perkongsian itu dibuat bekas guru berkenaan di platform Threads sebagai maklum balas kepada komen-komen tular di media sosial sebelum ini yang tidak sepatutnya dinormalisasikan meskipun hanya sekadar berseloroh.
“Isteri dia baik, lembut tetapi suami macam itu. Kasihan. Maaf, tiada bahasa baik untuk lelaki yang tak tahu jaga adab serta moral sebagai lelaki dan bapa. Dia juga tak jaga maruah sendiri depan anak. Aku pula ke kena jaga maruah dia? Lambat lagi,” kongsinya lagi.
