Baru-baru ini tular perkongsian seorang individu yang berbangga mengaku memiliki enam buah rumah sewa tetapi masih mendapat bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dari kerajaan.
Perkongsian itu mencetuskan kritikan ramai sehingga beberapa laporan dibuat orang awam kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ekoran perkembangan itu, Kementerian Kewangan (MoF) dilaporkan telah menarik balik kelayakan STR dan SARA dari individu berkenaan.
Menurut Buletin TV3, lelaki berkenaan kini disiasat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana disyaki gagal mengisytiharkan pendapatan sewaan.
“Siasatan lanjut telah dijalankan dan mendapati bahawa pemilikan hartanah tersebut adalah benar.
“Berdasarkan maklumat pindah milik yang direkodkan dalam sistem e-Duti Setem Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), hartanah berkenaan didaftarkan atas nama penerima dan pasangan beliau.
“Berdasarkan siasatan dan penemuan ini, kelulusan STR dan SARA beliau telah ditarik balik,” katanya.
Sementara itu, orang awam memberi reaksi positif terhadap perkembangan itu, menyatakan rasa puas hati mereka terhadap individu yang selama ini mengambil kesempatan untuk mendapatkan bantuan kerajaan.
Mereka juga menyokong tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan tidak membiarkan kes ini berlalu begitu sahaja.
Selain itu, ada pengguna berkata “kerana santan pulut binasa, kerana Thread hilang STR dan SARA”.
Baca juga: Banjir melanda awal pagi, penunggang itu bekerja dengan tekun sambil mendukung bayi awal pagi.