Perkongsian seorang ibu yang memuat naik tangkap layar memaparkan surat rasmi dihantar kepada pihak sekolah untuk mengeluarkan nama anaknya daripada senarai penerima bantuan telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, ibu dikenali sebagai Aina itu memaklumkan bahawa anaknya sebelum ini sudah menerima bantuan melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) selama empat tahun di sekolahnya.
Namun apabila kewangan keluarganya semakin stabil, ibu terbabit membuat keputusan untuk mengeluarkan nama anaknya daripada senarai penerima RMT supaya bantuan tersebut dapat diberikan kepada murid lain yang lebih memerlukan.
“Setelah empat tahun berturut-turut anak dapat RMT dan bantuan-bantuan yang sekolah berikan. Kita akhirnya dapat sampaikan kepada keluarga yang betul-betul memerlukan pula. Terima kasih kepada guru besar and guru-guru,” katanya dalam perkongsian itu.
Mengulas lanjut, ibu terbabit menerusi ruangan komen memaklumkan bahawa surat rasmi untuk menarik diri daripada terus menerima bantuan berkenaan dibuat atas permintaan guru anaknya untuk memudahkan urusan berkaitan audit kelak.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna Threads sudah membanjiri ruangan komen perkongsian itu dengan kata-kata pujian serta ucapan tahniah kerana ibu terbabit berlaku jujur dan bersikap amanah di atas bantuan yang diberikan.
Ramai juga pengguna tampil mengirimkan doa buat keluarga itu supaya mereka semakin dilimpahkan dengan rezeki melimpah-ruah kelak di atas sikap bertimbang rasanya terhadap nasib murid lain yang mungkin lebih memerlukan bantuan.

Baca juga: Khairul Aming beri amaran, jangan kongsi tangkap layar slot Rembayung, risau scammer