Penerima layak raih RM100 hingga RM500, Sumbangan Tunai Rahmah mula salur hari ini

Oleh MALAYSIADATELINE

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 akan mula disalurkan kerajaan pada hari ini dengan 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan dijangka menerima manfaat.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa mereka yang layak akan menerima STR sebanyak RM100 sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan masing-masing melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion.

Difahamkan, pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun ini disusun semula selari dengan usaha Kerajaan Madani bagi memastikan beban kos sara hidup dapat dikurangkan secara lebih berkesan.

Melalui penambahbaikan itu, lebih lapan juta rakyat layak menerima bantuan SARA secara bulanan termasuklah 400,000 individu daripada golongan miskin dan miskin tegar berdasarkan pangkalan data eKasih.

Oleh yang demikian, SARA menjadi satu bentuk bantuan asas untuk menyediakan sokongan berterusan kepada rakyat manakala STR pula diberikan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, lapor Berita Harian.

STR akan disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan termasuklah dari golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih. 

Pendekatan bersepadu itu dapat memastikan bantuan bersasar disalurkan dengan lebih teratur, stabil dan berkesan selain memberi ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan.

MOF menerusi satu kenyataan menjelaskan bahawa permohonan baharu dan rayuan STR juga akan dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my untuk mengurangkan risiko keciciran.

“Kelayakan STR adalah berdasarkan had pendapatan seperti yang ditetapkan. Selaras dengan amalan terbaik bagi pelaksanaan program bantuan sosial, setiap permohonan turut melalui proses semakan dan verifikasi dengan pelbagai agensi Kerajaan bagi mengesahkan kelayakan pemohon.

“Bagi pemohon baharu, selain daripada had pendapatan, semakan berkala akan diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, MOF turut menegaskan bahawa semua pemohon mempunyai tanggungjawab untuk memberikan maklumat yang tepat dan benar di dalam permohonan mereka.

Kerajaan berhak mengambil tindakan undang-undang termasuk menarik semula mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan seperti memberikan maklumat palsu atau tidak tepat.

Penerima juga diberi peringatan mengenai pautan palsu dan cubaan penipuan serta disarankan untuk merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi mendapatkan sebarang maklumat terkini.

“MOF mengingatkan penerima STR agar berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Sebagai langkah keselamatan, MOF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp.” Jelasnya.

Baca juga: Agong puji kejayaan Kerajaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, ucap syabas ekonomi positif