“Buka kedai makan je, bukan konsert” – Khairul Aming jelaskan isu tempahan, mohon beri ruang

Oleh MAISARAH AISYA

Usahawan dan selebriti media sosial, Khairul Aming, tampil memberi penjelasan berhubung isu tempahan di restoran Rembayung yang baru sahaja dibuka dua minggu lalu.

Dalam hantaran di Threads, Khairul menegaskan bahawa kedai makannya hanya mampu menampung maksimum 200 orang dalam satu masa.

“Saya buka kedai makan je, bang. Saya mohon jangan letak expectation (jangkaan) macam saya menganjurkan konsert dekat Bukit Jalil.

“Dalam kedai kita boleh uruskan 200 pax je maksimum dalam satu masa, tapi yang nak menempah ada 50,000 orang.

“Itu tak termasuk tujuh ke lapan orang keluarga atau kawan yang setiap orang nak bawa,” jelasnya di Threads.

Khairul turut menjelaskan bahawa platform Umai digunakan sebagai medium pengurusan tempahan kerana ia dianggap pilihan terbaik untuk restoran di Malaysia.

Meskipun sudah menggunakan platform terbaik, Khairul menegaskan bahawa kapasiti tempat di Rembayung tetap terhad.

“Tapi bila pilihan terbaik pun tak boleh tampung, kami tak boleh nak selesaikan isu ni sekelip mata.

“Kedai baru buka dua minggu bang. Tolonglah bagi saya sedikit ruang,” tambah Khairul.

Hantaran tersebut adalah maklum balas kepada seorang pengguna yang sudah memadam hantaran di Threads meminta Khairul melantik Ketua Pegawai Teknologi (CTO).

Baca juga: Guru didakwa gunting tudung pelajar kerana tak cukup labuh dipindahkan sekolah