Seorang pelajar mengalami situasi yang paling memalukan apabila gurunya didakwa menggunting tudung sekolah kerana dikatakan tidak cukup labuh.
Menurut perkongsian Info Lahad Datu, pelajar berkenaan pulang ke rumah dalam keadaan menangis selepas insiden tersebut.
Laman Facebook itu turut berkongsi gambar bagaimana tudung pelajar berkenaan telah digunting, sambil menjelaskan bagaimana tindakan itu memberi kesan mendalam kepada pelajar tersebut.
“Tudung budak ni digunting dengan alasan tidak labuh. Budak tu sampai balik menangis, kesian sangat. Tudung tu baru ja dibeli.
“Dan ini saiz paling besar. Kamu tengoklah sendiri. Kalau cikgu cakap tak boleh pakai macam ni, tudung ni boleh mereka sedekahkan pada orang lain, kenapa digunting?” menurut perkongsian tersebut.
Dalam hantaran sama, akaun berkenaan memaklumkan kejadian itu bukan sahaja menyebabkan pelajar berasa sedih, malah malu dengan tindakan yang dikenakan ke atasnya.
“Mungkin bagi orang lain itu benda kecil, tapi bagi budak tu, itu sangat menyakitkan dan memalukan dia.
“Kalau niat mahu mendidik, tolong ingat… yang digunting tu bukan kain kosong, tapi perasaan seorang budak. Teguran yang baik lebih sampai di hati daripada hukuman yang menyakitkan,” katanya.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di salah sebuah sekolah di Lahad Datu.
Sehubungan itu, pihak terbabit meminta ustazah yang terlibat tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kerana didakwa telah mengguris perasaan pelajar yang tidak melakukan kesalahan.
Dalam perkembangan terbaharu menurut Sinar Harian, guru terbabit telahpun dipindahkan ke sekolah lain.
Guru tersebut juga telah memohon maaf kepada ibu bapa murid berkenaan dan PPD Lahad Datu mengambil tindakan menukarkan guru berkenaan ke sekolah lain manakala murid kekal di sekolah tersebut.
“Guru tersebut juga telah menggantikan tudung murid yang digunting,” kata Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin.
Baca juga: Influencer lelaki nekad berhenti guna make up, hadiahkan barangan solek percuma