Ibu buntu bayi baru lahir menangis tak henti, terharu jururawat ambil alih dodoi anak sampai tidur

Oleh MALAYSIADATELINE

Hantaran seorang ibu yang meluahkan rasa penghargaan terhadap jururawat kerana menghulurkan bantuan ketika bayinya dimasukkan ke sebuah wad hospital telah berjaya menyentuh hati orang ramai baru-baru ini.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, wanita dikenali sebagai Ashinity itu memaklumkan bahawa kejadian berlaku selepas anaknya yang baru lahir dirawat di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.

Difahamkan selepas menerima rawatan, anaknya berada di dalam keadaan tidak selesa pada malam hari sehingga bayi berkenaan enggan berhenti menangis mahupun melelapkan matanya sewaktu berada dalam wad.

Wanita itu mengakui tidak memiliki pengalaman sebagai seorang ibu yang pertama kali melahirkan anak dan tidak berdaya lagi memujuk bayi terbabit malah emosinya juga terjejas serta keletihan

“Bayi saya yang baru lahir dimasukkan beberapa minggu yang lalu di wad HTA. Pertama kali sebagai ibu, memang menyayatkan hati melihat bayi saya yang baru lahir kena cucuk, ‘suction’ dan sebagainya.

“Malam itu, dia menangis teresak-esak dan tidak dapat tidur. Mungkin kerana kahak atau benda lain. Saya sudah tak berdaya dan tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Saya letih mental dan fizikal,” katanya dalam hantaran itu.

Ibu terbabit akhirnya boleh menarik nafas lega apabila seorang petugas hospital dipercayai Ketua Jururawat dikenali sebagai Syuhada tampil menyelamatkan keadaan dengan mengambil alih menjaga bayinya.

Ketua Jururawat itu bukan sahaja menyapu minyak di perut bayinya dalam usaha untuk menghentikan tangisan malah turut membantu mendodoikan anaknya sehingga tidur dengan lena pada hari kejadian.

“Terima kasih banyak kerana datang menyelamatkan saya. Semoga murah rezeki selalu.” Kongsi ibu itu memberitahu bahawa penghargaan tersebut akan turut disampaikan secara rasmi mungkin melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna Threads berkongsi rasa terharu dan kurang bersetuju apabila jururawat di hospital kerajaan dipukul rata dengan sering dianggap bersikap dingin.

Ramai juga pengguna terutamanya para ibu yang pernah melahirkan anak di wad bersalin berkenaan turut tampil menceritakan layanan baik dan ramah diterima mereka daripada petugas perubatan di situ.

Baca juga: PMX dan teladan kepimpinan Madani dari kacamata Datuk Dr Suhaimi Ibrahim