Network School: Tindakan Tegas Menanti Jika Langgar Undang-undang – Tunku Mahkota Ismail

Oleh BERNAMA

Kerajaan Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung isu melibatkan Network School di Forest City dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau syarat lesen.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran, tindakan tegas akan diambil termasuk pembatalan lesen atau permit operasi syarikat berkenaan di negeri itu.

“Berhubung isu melibatkan Network School di Forest City baru-baru ini, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan akan menjalankan siasatan terperinci,” titah Tunku Mahkota Ismail menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah mengeluarkan Notis Henti Niaga terhadap premis yang dikaitkan dengan operasi Network School di Forest City.

Tindakan itu diambil berikutan kegagalan syarikat terbabit mematuhi syarat lesen perniagaan dan penggunaan premis, selain didapati menyalahgunakan pejabat urusan sebagai ruang aktiviti pendidikan.

Hasil pemeriksaan mendapati syarikat itu beroperasi di dua premis, dengan satu daripadanya mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala sebuah lagi premis dikesan beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki oleh warga tempatan.

Terdahulu, tular di media sosial tentang dakwaan yang mengaitkan kewujudan Network School di Forest City dengan agenda Israel untuk bertapak secara senyap di negara ini menerusi pelaburan mata wang.
— BERNAMA

Baca juga: PM Anwar akan bantu Orang Asli, bincang isu pertikaian tanah dengan kerajaan Pahang


 
Â