Kreativiti seorang peniaga di Bazar Ramadan Kolej Matrikulasi Labuan mencuri perhatian apabila menggunakan kotak polistren yang diubah suai dengan ‘tingkap’ lutsinar bagi mempamerkan kek jualannya.
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran rasmi di Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan yang membuat rondaan pada Ramadan ketiga di bazar berkenaan.
Menurut perkongsian tersebut, kebanyakan pengunjung bazar terdiri daripada pelajar yang masih belajar erti berjimat-cermat, namun tetap mencari makanan yang sedap, bersih dan berbaloi.
Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian kali ini ialah penggunaan kotak polistren yang dilengkapi cermin lutsinar bagi mempamerkan kek seperti tiramisu dan kek lava.
“Kotak polistren… tapi ada cermin. Sekali tengok, nampak biasa. Dua kali tengok, eh… kreatif juga abang ni,” menurut hantaran itu.
Jelasnya, kek merupakan produk sensitif suhu yang memerlukan penyimpanan dalam keadaan sejuk bagi mengekalkan tekstur, kesegaran dan kualiti.
Jika terdedah kepada suhu luar terlalu lama, kek boleh menjadi lembik dan cepat rosak.
Namun, peniaga berkenaan mengambil inisiatif menghasilkan ‘display window’ sendiri pada kotak sejuk berkenaan bagi memastikan produk dapat dilihat pelanggan tanpa menjejaskan kawalan suhu.
Pendekatan tersebut disifatkan sebagai inovasi kecil tetapi memberi impak besar kerana bukan sahaja membantu dari segi pemasaran, malah mengekalkan aspek keselamatan makanan.
“Pelanggan boleh nampak produk. Kualiti penyimpanan masih terjaga. Kreativiti pun naik satu level.
“Beginilah rupa peniaga yang bukan sekadar jual, tapi fikir. Dalam dunia makanan, bukan modal yang menentukan kualiti, tetapi fikiran dan kesedaran,” menurut kenyataan itu lagi.
Baca juga: Idea letak tong gas luar rumah tular, tapi isunya selamat ke? Ini kata abang ‘supply’ gas