Baru bergurau nak durian masa joging, sekali tuan kebun terus panggil!

Oleh MALAYSIADATELINE

Hasrat seorang lelaki untuk berjoging di kawasan kampung bertukar menjadi pengalaman yang tidak disangka apabila dia menerima durian secara percuma daripada pemilik kebun.

Menerusi hantaran yang dikongsikan di media sosial, Muhammad Razif berkongsi ketika berjoging dia sempat bergurau dengan isterinya mengenai sebatang pokok durian yang sarat berbuah.

Menurutnya, dia berseloroh dengan bertanya sama ada pemilik pokok itu sudi menghadiahkan beberapa biji durian kepada mereka.

Namun tidak lama kemudian, kedengaran suara seorang wanita warga emas menjerit dari arah sebuah rumah bertanyakan sama ada mereka mahu durian.

“Puas juga cari dari mana suara itu datang, rupanya seorang nenek berdiri di belakang tingkap.

“Kami sebenarnya malu, tapi memang rezeki. Banyak betul pokok durian dia. Esok rasa nak jogging lagi depan rumah dia. Mana tahu dia bagi pokok itu dekat aku,” selorohnya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut berkongsi pengalaman menerima durian secara percuma daripada penduduk kampung.

Seorang pengguna, Zulaikha berkata pemberian itu sebaiknya dibalas dengan membawa serawa durian sebagai tanda menghargai budi.

“Percayalah, tiap-tiap tahun dia akan panggil datang lagi. Begitulah adab apabila orang memberi kita merasa,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Muaz, yang bekerja sebagai penghantar kurier berkata dia juga sering menerima durian daripada penduduk kampung ketika menghantar bungkusan.

“Saya kerja J&T, hari-hari acik kampung bagi durian. Sampai terfikir nak suruh dia masukkan nama saya dalam geran kebun,” tulisnya berseloroh.

Turut berkongsi pengalaman ialah Syahida yang berkata dia pernah ditawarkan durian oleh seorang pelanggan ketika menemani suaminya membuat kerja di rumah pelanggan.

“Saya terus cakap baik pakcik. Siap tanya suami dalam kereta esok lalu sini lagi tak,” katanya sambil bergurau bahawa berjoging atau singgah di kampung kadangkala benar-benar ‘mendatangkan hasil’.

Baca juga: Alahai tuan kedai, macam mana boleh jual lamb chop macam ini