“Pengorbanan mereka tak dipandang ringan” – Kuarters PDRM di Johor terima peruntukan RM1 juta

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kelulusan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih kritikal dan mendesak melibatkan kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor.

Menurut beliau, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan anggota PDRM serta keluarga mereka terus diberi perhatian.

Katanya, penyediaan kediaman yang lebih selesa dan kondusif bukan sahaja mampu meningkatkan kesejahteraan warga PDRM,

Malah ia menjadi pemangkin semangat kepada anggota yang setiap hari menggalas tanggungjawab menjaga keselamatan negara.

“Keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan anggota keselamatan membuktikan setiap pengorbanan mereka sentiasa dihargai dan tidak pernah dipandang ringan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri akan memastikan pelaksanaan peruntukan tersebut disegerakan supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh warga PDRM dalam tempoh terdekat.

Beliau turut menegaskan usaha memperkukuh kebajikan anggota keselamatan akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan demi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih bersemangat dan berkesan dalam memelihara keamanan negara.

Baca juga: Isu etnik Rohingya ditangani secara menyeluruh, ini strategi utama dilaksana kerajaan