Isu etnik Rohingya ditangani secara menyeluruh, ini strategi utama dilaksana kerajaan

Oleh MALAYSIADATELINE

Isu berkaitan dengan etnik Rohingya sering menimbulkan perdebatan sejak akhir-akhir ini terutamanya apabila rakyat tempatan meluahkan kegusaran berhubung pertambahan populasi pelarian tersebut.

Walaupun ramai rakyat Malaysia masih mempertimbangkan nilai kemanusiaan, namun isu yang timbul kebelakangan ini termasuk mengugat keselamatan dan kedaulautan negara telah ‘menghangatkan’ lagi situasi.

Lebih mengeruhkan keadaan, sesetengah pihak mendakwa kerajaan seakan-akan lepas tangan berhubung masalah ini sedangkan pelbagai usaha sudah dilakukan malah masih dijalankan untuk menangani masalah ini.

Berikut kami senaraikan strategi utama dilakukan oleh pihak kerajaan bersama agensi berkaitan berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

1. Pendekatan Menyeluruh dan Bersepadu

  • Pendekatan ini diambil kerajaan dengan memberi tumpuan kepada aspek memperkukuhkan kawalan sempadan dan penguatkuasaan serta kerjasama antarabangsa.
  • Strategi dilaksanakan secara objektif dan berasaskan data serta dilihat dalam konteks keselamatan secara keseluruhan bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara.

2. Cabaran di Kawasan Sempadan

  • Berdasarkan maklumat terkini, seramai 210 etnik Rohingya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) direkodkan berada di Perlis
  • Tahap keselamatan di Perlis masih terjamin hasil kerjasama erat Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri serta agensi berkaitan walaupun wilayah itu mempunyai cabaran sebagai kawasan sempadan.

3. Cadangan Membina Tembok dan Pagar Keselamatan

  • MKN sedang menyelaras inisiatif strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) termasuk cadangan pembinaan tembok dan pagar keselamatan di sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand.
  • Projek dicadangkan tersebut dijangkakan melibatkan jajaran sepanjang 131.4 kilometer dengan anggaran kos RM327.198 juta merangkumi negeri Perlis, Kedah dan Perak.
  • Namun perbincangan kini pada peringkat antaranya penyediaan penyata keperluan (SON) bagi menentukan keperluan operasi, skop pelaksanaan serta spesifikasi projek.

4. Penggunaan Teknologi Moden

  • Seiring dengan pembangunan teknologi, penggunaan inovasi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), dron dan sistem pemantauan pintar juga penting untuk menangani masalah ini.

Baca juga: Jangan bandingkan suhu panas 35°C di UK dengan Malaysia, tak sama