Daiyan Trisha pula kena tipu RM120 lepas beli slot Rembayung di Thread 

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha, meluahkan rasa tidak percaya apabila dirinya menjadi mangsa penipuan seorang individu yang kononnya menjual slot tempahan Rembayung milik pempengaruh media sosial, Khairul Aming.

Daiyan berkata, dia kerugian RM120 selepas terpedaya, membeli slot palsu berkenaan dari individu bernama ‘Dayang’ yang dihubungi dari platform Thread.

“Kami memang sudah bersedia mental 50/50. Kalau kena ‘scam’, kami cari restoran lain. Rupa-rupanya memang betul kami kena ‘kencing’.

“Bila saya semak semula, akaun Threads individu itu sudah dipadam, tapi saya masih simpan nombor akaun bank dia,” katanya yang memberitahu dia sejak awal sudah pun ragu-ragu dengan individu tersebut.

Daiyan berkata, tujuannya berkongsi perkara itu bukanlah untuk menagih simpati, sebaliknya mahu orang ramai lebih berwaspada agar tidak menjadi mangsa ‘scammer’ di media sosial.

Dia juga mengakui keadaannya tenang sahaja kerana jumlah kerugian tidaklah besar, namun akuinya dia kasihan kepada mereka yang membawa ibu bapa datang dari jauh untuk makan di Rembayung.

“Saya tenang saja sebab jumlahnya tidak besar, cuma saya kasihan pada mereka yang bawa ibu bapa atau datang jauh dari Kelantan atau Perlis semata-mata nak makan di situ, tetapi tiba-tiba kena tipu.

“Hari biasa pun sudah dikira tidak okay, apatah lagi dilakukan pada bulan Ramadan. Memang sangat tidak baik,” katanya.

Terdahulu, tular video Daiyan bersama pasukannya yang kecewa selepas menyedari mereka ditipu.

Malah, Daiyan sempat berseloroh meminta ‘tuan empunya badan’, Khairul Aming untuk membantu ‘menangkap’ individu berkenaan.

Baca juga: Fazura ‘tabik’ Kamal Adli, masih belikan baju raya untuk Uqasha Senrose dan anak