Perbandingan gaji antara pekerjaan profesional dan pemandu e-hailing kembali mencetuskan perbincangan di media sosial selepas satu hantaran tular mempertahankan mengapa anak muda kini tidak berminat melanjutkan pelajaran ke universiti.
Hantaran tersebut membandingkan gaji seorang jurutera yang sekitar RM2,800 dengan pendapatan pemandu Grab yang dikatakannya sekitar RM3,000.
Individu itu menggambarkan situasi itu sebagai tidak berbaloi untuk anak muda menyambung pengajian ke universiti jika bekerja sebagai pemandu Grab sahaja mampu peroleh pendapatan lebih besar.
Bagaimanapun, pandangan itu mendapat teguran seorang penganalisis kewangan yang dikenali sebagai FinancialFaiz.
Beliau menegur perbandingan sedemikian yang hanya melihat pendapatan jangka pendek tanpa mengambil kira laluan kerjaya dalam jangka masa panjang termasuk peluang untuk naik pangkat dan segala manfaat yang diterima pekerja.
“Another day, another ragebait post. I’ll play. Pemandu Grab ada KWSP? Ada rawatan perubatan, cuti tahunan dan kenaikan pangkat? RM2,800 tu gaji lepasan universiti. 5 hingga 10 tahun nanti boleh jadi RM6,000, RM8,000, RM10,000 bergantung kepada kemahiran. Pemandu Grab 10 tahun lagi? Jawab sendiri.
“Masalahnya kau bandingkan gaji hari ini je. Tak nampak laluan kerjaya.
Dulu kan penghantar makanan bangga pendapatan RM8,000 semasa covid. Sekarang? Ramai merusuh sebab komisen kena potong.
“Buat Grab ini sekejap-sekejap ok lah sebagai pendapatan sampingan. Jangan jadikan kerjaya. Tak bina portfolio diri,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsikan seorang pengguna Facebook, Radin Muhd Imaduddin, yang melihat isu tersebut bukan sekadar soal gaji, tetapi juga tentang makna pendidikan dan hala tuju hidup.
Menurutnya, gaji graduan baru memang kecil, tetapi dengan pengalaman dan peningkatan kemahiran, gaji boleh meningkat secara perlahan-lahan.
Bagi pemandu Grab pula, walaupun pendapatan hari ini mungkin nampak tinggi, tetapi sistem komisen boleh berubah dan tenaga kerja juga ada had.
Oleh itu, daripada sudut perancangan kewangan jangka panjang, gaji semasa bukanlah ukuran lengkap. Malah universiti bukan sekadar tempat untuk mencari gaji besar, tetapi juga untuk membina cara berfikir, jaringan sosial, disiplin ilmu, dan identiti profesional.
Baca juga: Tak larat hantar parcel banyak sangat, pekerja kurier buka pandu lalu ambil parcel