Pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar meluahkan rasa lega apabila fenomena berjoget dengan menggunakan lagu raya dilihat seperti semakin berkurang menjelang musim perayaan Aidilfitri pada kali ini.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, pendakwah terbabit juga berharap fenomena tersebut semakin tenggelam agar tidak lagi diikuti masyarakat pada masa akan datang.
Pemilik nama sebenar Mohamad Wadi Annuar Ayub itu juga tidak lupa menyampai pesanan khususnya kepada ibu bapa untuk menjalankan peranan mereka sekiranya anak-anak melakukan perbuatan tersebut.
Jelasnya, ibu bapa terutamanya yang beragama Islam tidak boleh membiarkan sahaja anak-anak mengikuti trend tersebut sebaliknya terus memberi bimbingan agar mereka menjaga adab dan maruah.
“Baguslah semakin kurang yang terikut-ikut dengan ‘trend’ joget raya. Biarlah trend ini semakin tenggelam. Jika masih ada yang melakukannya, ibu bapa perlu menegur dan membimbing anak-anak.
“Supaya mereka sentiasa menjaga adab serta maruah,” ujar pendakwah terbabit memberikan peringatan demi kebaikan bersama menerusi perkongsian dimuat naik di akaun Threads miliknya itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna merasa tersentuh dengan teguran lembut diberikan pendakwah terbabit dan berjanji tidak akan melakukannya lagi selepas ini.
Beberapa pengguna turut berkongsikan kebimbangan mereka apabila tanggungjawab untuk melarang anak-anak mengikuti trend tersebut sudah dilakukan namun malah digalakkan oleh pihak institusi pendidikan.
“Sekarang ini, ibu bapa kadang-kadang tak benarkan pun. Tetapi cikgu-cikgu dekat tadika ataupun sekolah rendah pula pandai-pandai latih anak kita untuk joget ikut lagu raya,” kesal seorang pengguna.
“Alamak, ustaz sudah tegur. Baiklah, raya untuk kali ini kita bergambar sahaja. Sebab rasa lembut hati nak ikut cakap Ustaz Wadi, Insya-Allah.” Kongsi pengguna lain di ruangan komen.
Baca juga: Bau je dah kecur air liur, ini makanan ‘legend’ yang wajib ada pagi Raya!