Seorang wanita tidak dapat menahan sebak apabila menerima sumbangan sebanyak RM3,000 daripada pengacara terkenal dan penyampai radio Kool FM, Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurut wanita dikenali sebagai Amira, dia dan suaminya sebelum ini sudah berusaha sehabis mungkin untuk mencari sumber pendapatan tambahan selepas suaminya tidak menerima bonus selama beberapa tahun.
Malah, mereka juga baru berpindah bagi membolehkan suaminya berada lebih dekat dengan kedua ibu bapanya.
Walaupun tidak berada dalam keadaan terlalu susah, Amira mengakui mereka tetap mempunyai keinginan untuk memberi duit raya kepada keluarga.
“Dah berapa hari nak raya, saya pandang suami, suami pandang saya… kami tak tahu nak cakap apa.
“Kami fikir nak bagi anak sendiri RM10 atau RM20 pun… mungkin bagi, lepas tu buka balik guna semula,” katanya jujur dalam panggilan tersebut.
Lebih menyentuh hati, dia turut memahami hasrat suaminya yang merupakan anak sulung dan mempunyai tanggungjawab besar untuk memberi kepada ibu bapa dan adik-beradik.
Situasi itu berubah apabila Pak Nil tampil menghulurkan bantuan, meskipun pada awalnya ditolak Pak Nil tetap menyumbangkan sebanyak RM3,000 kepada Amira.
“Kalau Pak Nil kirimkan duit raya untuk ibu, anak-anak dan anak buah, boleh tak terima Kalau awak menolak, awak menolak hajat Pak Nil. Ini hajat Pak Nil.
“Pak Nil dah kirimkan RM3,000 untuk Amira,” ujarnya dalam video dikongsikan.
Lebih mengharukan, Amira berkongsi dia baru sahaja berdoa malam sebelumnya agar dipinjamkan sedikit rezeki oleh Allah.
“Malam tadi saya doa… Ya Allah pinjamkanlah sedikit kekayaan-Mu, gembirakanlah hati kami,” katanya.
Sumbangan tersebut bukan diharap dapat meringankan beban, malah membawa kegembiraan buat mereka sekeluarga menjelang Hari Raya.
Baca juga: Bekas peserta program nyanyian ‘dicekup’ isteri, bawa wanita lain pergi bazar