Ahli perniagaan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri sanggup mengeluarkan belanja mencecah pelahan ribu ringgit untuk membelikan beg tangan berjenama buat anak perempuannya iaitu Raudhah Arshiyah.
Perkara itu didedahkan oleh Aliff sendiri menerusi satu perkongsian video yang dimuat naik di platform TikTok memaparkan situasi ketika Raudhah merajuk kerana tidak dibelikan beg seperti kakaknya, Qadejah El Zahra.
Menerusi video yang berdurasi 57 saat itu, kelihatan Aliff sudah berusaha untuk memujuk anaknya namun tidak berjaya sebelum mengambil keputusan membawa ahli keluarganya ke sebuah butik berjenama mewah.
Kanak-kanak yang difahamkan baru berusia tujuh tahun itu kemudian memilih sebuah beg berona cerah sepadan untuk digayakan bersama baju raya berwarna hijau yang dipakainya ketika itu.
”Raudhah merajuk, sebab Abah tak belikan beg untuk dia. Asyik kakak Cess (gelaran Qadejah) sahaja dapat. Budak-budak sekarang ini pelik, umur tak sampai tujuh tahun pun sudah pandai pau Abah.
“Selepas dapat beli terus gembira. Terus cium Abah. Yang peliknya dipilih sendiri ya. Semoga anak Abah jaga baik-baik beg ini. Abah kadang-kadang bekerja keras bukan untuk dia.
“Tetapi untuk membahagikan anak-anaknya,” kata usahawan kosmetik popular berusia 39 tahun terbabit dalam keterangan video dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu.
Usahawan itu tidak mendedahkan belanja dikeluarkan namun pengguna TikTok yang mambuat carian sendiri mendakwa bahawa harga beg tangan dipilih anaknya boleh mencecah dalam anggaran lebih RM20,000.

Baca juga: “Kalau dunia terasa berat, pulanglah” – Abby Abadi