Tiada angin tiada ribut tiba-tiba berlegar khabar angin mendakwa kumpulan Senario kini sedang berdepan krisis dalaman dan berada di ambang perpecahan.
Puncanya tidak diketahui, tetapi dikatakan berlaku salah faham dan berselisih pendapat antara mereka.
“Bisik-bisik” mengenai hal itu tersebar, dengan ada yang kata konsert Senario Last Kopek yang bakal berlangsung pada April nanti mungkin menjadi persembahan terakhir mereka sebagai sebuah kumpulan.
Memetik Utusan Malaysia, hubungan antara anggota kumpulan lagenda itu sekarang dikatakan agak berantakan.
“Ada pihak yang mendakwa berlaku salah faham dan perbezaan pandangan antara mereka.
“Biasalah, apabila masing-masing sudah lama bersama dan ada pengalaman sendiri, tentu ada idea dan pendirian yang tidak sama.
“Bak kata orang, kepala tidak sama, rambut saja yang sama hitam.Sebenarnya, cerita mengenai kemungkinan perpecahan kumpulan ini bukanlah sesuatu yang baru,” menurut penulis Cik Bunga.
Dari dulu lagi, sekali-sekala akan timbul khabar kononnya ada anggota yang tidak lagi sependapat atau mempunyai haluan berbeza dalam kerjaya. Namun setakat ini, mereka masih lagi berdiri atas nama yang sama, Senario.
Apa pun, sama ada konsert Last Kopek itu benar-benar akan menjadi pentas terakhir atau sekadar nama yang mencuit hati, peminat tentu berharap ia bukanlah noktah kepada perjalanan Senario.
Baca juga: “13 tahun, 13 sampul” – Tak pernah tengok jumlah, wanita ini akhirnya ‘unbox’ duit raya suami