“Korban 16 tahun karier demi keluarga” – Ellie Suriaty tampil ‘backup’ Que Haidar

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty berkongsi pendedahan menyentuh hati pelakon lelaki, Que Haidar yang didakwa terpaksa mengorbankan kerjaya demi rumah tangga.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, Ellie mendakwa pelakon berkenaan berada di kemuncak kerjaya ketika mendirikan rumah tangga bersama bekas isterinya, Linda Jasmine.

Namun jelasnya, Que terpaksa berundur daripada dunia seni selama kira-kira 16 tahun bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

“Dia berada di kemuncak kerjaya ketika berkahwin dengannya.

“Dia mengorbankan 16 tahun untuk berdepan dengan paranoia isterinya serta membesarkan anak-anak agar mereka hidup dalam suasana yang positif,” tulisnya.

Menurut Ellie, pelakon tersebut turut berdepan kekangan ketat daripada pasangan, termasuk tidak dibenarkan menerima tawaran lakonan yang melibatkan pelakon wanita.

“Dia akan mengamuk jika dia berkeras mahu menerima tawaran kerja. Jika dia ingin menjalani penggambaran, dia hanya dibenarkan jika semua pelakon adalah lelaki.

“Tiada pelakon wanita dibenarkan, malah pelakon tambahan wanita juga tidak dibenarkan,” katanya lagi.

Lebih menyentuh perasaan, Ellie turut mendakwa pelakon berkenaan pernah bertemu dengannya secara rahsia dan meluahkan kerinduan terhadap dunia lakonan.

“Dia pernah berjumpa saya secara senyap sekitar 12 tahun lalu untuk memberitahu bahawa dia merindui kerjayanya sebagai pelakon,” kongsinya.

Sebelum ini Linda Jasmine dilihat meninggalkan komen bahawa dia tidak akan kembali bersama bekas suaminya malah memaklumkan ada sebab mengapa penceraian berlaku.

Baca juga: Karipap pusing laku keras lepas Johan puji ‘biasa-biasa’, kedai sampai tutup berhari-hari!