Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang pemandu bas membawa kenderaan tersebut di jalan raya sambil ‘meriba’ wanita dipercayai kekasihnya sekali gus mengundang kemarahan orang ramai.
Mana tidaknya, tindakan berbahaya pemandu tersebut bukan sahaja mengundang risiko kepada penumpang yang berada dalam bas malah boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengguna jalan raya lain.
Rakaman berdurasi kurang sembilan saat itu diambil oleh salah seorang penumpang yang turut menaiki bas tersebut sebelum dimuat naik di media sosial menerusi kumpulan Facebook, Community Roda Johor – CRJ.
Difahamkan, kejadian berlaku sekitar pukul 2 petang semalam ketika bas dalam perjalanan ke Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.
Dalam perkongsian tersebut, perakam video juga mengakui dimarahi oleh teman wanita pemandu bas apabila perbuatan mereka yang membahayakan keselamatan orang lain itu ditegur.
“Selepas kena tegur, teman wanita pemandu itu sudah mula mencarut macam-macam dekat saya,” katanya yang turut mendedahkan syarikat bas dan nombor pendaftaran kenderaan terlibat dalam hantaran itu.
Berdasarkan rakaman dikongsikannya, kelihatan teman wanita terbabit turut memandu bas tersebut manakala tangan pemandu juga kekal di stereng untuk memberi ‘bimbingan’.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Facebook menyelar perbuatan pemandu dan teman wanitanya serta berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka.
Ramai juga pengguna menuntut syarikat pengendali bas untuk memainkan peranan dalam memastikan keselamatan penumpang mereka termasuklah dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
“Tiada etika pekerjaan. Bas sepatutnya perlu pasang juga CCTV dan harus dipantau oleh syarikat masing-masing. Dengan uniform pemandu pun macam tak ikut ‘standard’,” kesal seorang pengguna.
“Pemandu bas tanggungjawabnya besar, bawa nyawa orang. Janganlah main-main macam ini. Kalau kekasih itu teringin sangat bawa bas, pergilah daftar dan belajar di tempat sepatutnya.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Cikgu wanita dibawa ke mahkamah, bakal direman untuk bantu siasatan kes rempuhan pelajar