“Duit zakat pun nak ‘sakau’?” – Aliff Syukri bengang isu dana RM230 juta disyaki diseleweng

Oleh MAISARAH AISYA

Tular di media sosial mengenai penahanan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO selepas disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah RM230 juta.

Susulan isu tersebut, usahawan Datuk Seri Aliff Syukri tampil mengecam tindakan individu terlibat dan mempersoalkan bagaimana dana zakat yang sepatutnya disalurkan kepada golongan memerlukan boleh disalahgunakan.

“Kau punya hati ni apa eh? Hati binatang ke hati apa ni? Kau tengok duit zakat pun kau nak sakau. Kau tahu tak duit tu untuk fakir miskin, untuk ibu tunggal, untuk pelajar.

“Kau sakau duit kenapa,” katanya dalam video dimuat naik di Instagram.

Menurut beliau, dana zakat sepatutnya disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan bukan disalah guna untuk kepentingan tertentu.

Beliau turut mendakwa kes seperti itu boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat apabila timbul rasa takut untuk menunaikan tanggungjawab tersebut akibat isu penyelewengan.

“Fikir, duit itu sepatutnya sampai kepada mereka yang memerlukan. Lepas tu orang yang betul-betul merayu nak bantuan pula tak dapat. Kau lah puncanya. Kau puncanya.

“Lepas tu bila jadi kes macam ni, semua orang mula salahkan institusi zakat. Semua kena tempias. Jadi orang takut, takut nak bagi dekat pusat zakat.

“Kau tahu tak? Papa (Aliff) niaga berniaga siang malam, pagi petang niat nak bantu orang tahu dengan berzakat.

“Papa berniaga macam-macam demi misi bagi nak bagi zakat dekat sebanyak orang yang boleh tapi engkau tukang sakau,” kongsinya.

Baca juga: Tuduh peserta Sumud dibayar RM40,000, aktivis “troll” balik dakwaan tak berasas