Iqbal dakwa pernah belikan beg RM40,000, mahu ubah ‘style’ DSV jika berbaik balik

Oleh MALAYSIADATELINE

Usahawan dan personaliti media sosial, Iqbal Zulkefli kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini apabila mengenang semula kenangan ketika bekerja dengan ahli perniagaan sensasi iaitu Datuk Seri Vida.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads itu, Iqbal memaklumkan bahawa dirinya dahulu turut terlibat dengan pemilihan pakaian usahawan terbabit sewaktu bekerja sebagai pembantu peribadi.

Pemilik nama sebenar Iqbal Zulkefli itu menjelaskan bahawa ahli perniagaan yang juga lebih mesra disapa sebagai DSV terbabit berpenampilan dengan lebih sederhana sewaktu mereka masih ‘bersama’.

Malah personaliti berusia 32 tahun itu juga mendakwa pernah membelikan beg berjenama mewah dipercayai Christian Dior di mana harganya dikatakan mencecah RM40,000 buat ahli perniagaan berkenaan.

Situasi bagaimanapun berbeza apabila mereka berdua dipertemukan kembali pada tahun ini sehinggakan Iqbal berniat untuk mengubah penampilan Datuk Seri Vida sekiranya hubungan dapat pulih semula.

“Kalau saya dengan Datuk Seri Vida berbaik kembali. Perkara pertama yang saya mahu buat adalah buang bulu mata dia. Saya tengok macam tiga inci juga masa kami berjumpa di rumah Datuk Aliff hari itu.

“Kedua, nak kembalikan penampilan macam zaman saya bekerja sebagai pembantu peribadi dahulu. Pakaian lebih ringkas, minimal dan hanya dua warna sahaja maksimum. Setuju? Bukan nak menghilangkan identiti asal beliau.

“Cuma penampilan lebih minimal. Ini contoh untuk majlis besar, dua tona warna sudah cukup mewahkan? Bag tangan itu hadiah dari saya. Kalau tidak silap, saya beli sekitar RM40,000 waktu itu,” kata Iqbal dalam hantaran itu.


Gambar dikongsikan Iqbal dalam hantaran tersebut dipercayai diambil ketika mereka menghadiri majlis bersama suatu ketika dahulu yang mana Datuk Seri Vida menggayakan beg tangan konon dibelikannya.

Iqbal turut memuat naik gambar lain memaparkan mereka berdua berada di sebuah restoran yang juga dipercayai diambil sewaktu personaliti terbabit masih bekerja sebagai pembantu peribadi DSV.

Dalam gambar tersebut, DSV atau nama sebenarnya Hasmiza Othman kelihatan bernampilan ringkas dan tetap berseri meskipun tiada solekan yang berlebihan mahupun bulu mata panjang menghiasi wajahnya.

Iqbal meluahkan pandangan peribadinya bahawa Datuk Seri Vida lebih sesuai malah tampak eksklusif dengan berpenampilan sederhana tanpa solekan yang berlebihan.

“Ini juga saya yang pilih kesemuanya. Rasanya pakaian ringkas begini sesekali juga cukup mewah dan nampak lebih baguskan? Solekan juga sederhana. Jarang nampak Dato Seri Vida tanpa bulu mata panjangkan?.” Ujarnya.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna bersetuju dengan pendapat Iqbal dan mengatakan bahawa ahli perniagaan terbabit tidak memerlukan solekan tebal kerana sudah memiliki kulit yang mulus.

Ramai juga pengguna sengaja mengusik Iqbal dengan bertanya sekiranya personaliti terbabit memuat naik gambar bersama Datuk Seri Vida kerana merindukan ahli perniagaan yang didakwa pernah menjalinkan hubungan istimewa dengannya dahulu.

Baca juga: “Duit zakat pun nak ‘sakau’?” – Aliff Syukri bengang isu dana RM230 juta disyaki diseleweng