Pendedahan seorang anak mengenai keadaan bapanya yang baru disahkan menghidap penyakit kronik, buah pinggang tahap lima telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya menerusi perkongsian dimuat naik di platform TikTok, sang anak mendakwa bapanya diuji dengan penyakit kronik tersebut selepas setahun lebih mengamalkan satu produk minuman .
Difahamkan, minuman dipromosikan oleh personaliti media sosial itu dibeli sendiri oleh bapanya melalui platform membeli-belah atas talian iaitu TikTok Shop tanpa pengetahuan anaknya.
Sehubungan dengan itu, pemuda yang menggunakan akaun TikTok En Kassim Selamat terbabit tampil untuk memberikan peringatan kepada orang ramai agar tidak mengamalkan ubat atau pemakanan tanpa kelulusan.
“Ini pengalaman aku sendiri. Kalau nak beli atau makan ubat, pastikan ada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bukan berniat nak mengaibkan atau menjatuhkan sesiapa.
“Tetapi biarlah kita jadikan sebagai pengajaran. Ayah aku sudah setahun lebih terperdaya dengan produk dibeli dekat TikTok. (Kena) buah pinggang kronik tahap lima. Terpaksa dialisis,” katanya dalam perkongsian itu.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 1.5 juta tontonan daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya berkongsi rasa simpati dengan nasib menimpa warga emas itu.
Ramai juga pengguna berharap kisah tersebut diambil sebagai pengajaran kepada warga emas kerana bukan sesuatu yang mudah untuk anak menghalang mereka membeli barang terutamanya ubat-ubatan tradisional.
