Baru-baru ini tular perkongsian daripada penduduk di sebuah apartment di Setia Alam yang meluahkan rasa kurang senang dengan sesi penggambaran melibatkan pasangan pengantin di kawasan kediaman tersebut.
Hal ini berikutan sesi penggambaran perkahwinan itu bukan sahaja dilakukan pada sekitar pukul 12.40 pagi malah turut melibatkan pemasangan mercun sekali gus menganggu ketenteraman penduduk.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads itu, penduduk terbabit turut memuat naik video yang diambil daripada tingkat atas kediaman memaparkan situasi riuh pada awal pagi berkenaan.
Difahamkan, pasangan pengantin itu mahu merakam gambar dan video perkahwinan sebagai kenangan dengan berlatarbelakangkan percikan mercun seperti yang menjadi ‘trend’ pada masa kini.
Walau bagaimanapun, pemilihan lokasi dan masa pula disifatkan tidak tepat malah mengganggu waktu tidur penduduk terutamanya melibatkan penghuni yang memiliki anak sehingga memicu kemarahan mereka.
“Orang bodoh manalah ini? Aku memang panas hati sahaja. Sudahlah bukan kamu orang sahaja. Berkali-kali perlu hadap orang main mercun pagi-pagi buta nak buat penggambaran perkahwinan ke apa entah.
“Apabila kena ‘laser’, melenting suruh berhenti. Maki-maki suruh kami turun. Anak aku nak tidurlah. Bodoh pergi main dekat tepi tempat letak kenderaan,” kesal salah seorang penduduk di akaun Threads miliknya.
Dalam video tersebut, salah seorang penduduk dilihat membuat pancaran laser dan manakala selebihnya pula menjerit ke arah pasangan pengantin berkenaan supaya tidak meneruskan niat memasang mercun.
Usaha mereka bagaimanapun tidak berjaya kerana sesi penggambaran tetap diteruskan sebelum pasangan pengantin dan jurugambar mereka akhirnya beredar apabila penduduk melaporkannya kepada pihak polis.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads termasuk dalam kalangan jurugambar lain kurang bersetuju dengan tindakan pembakaran mercun pada awal pagi terutama di lokasi yang tidak sesuai.
Beberapa individu bagaimanapun berharap penduduk tidak terlalu ‘berkira’ dan membiarkan pengantin untuk meneruskan penggambaran itu kerana mereka telah mengeluarkan belanja yang cukup besar untuk membeli mercun.
Baca juga: “Dia attention seeker, narcissist” – Cik B ‘sound’ Iqbal Zulkefli