Tular di media sosial dakwaan mengenai sebuah syarikat peneraju sektor peruncitan terkenal yang dikatakan menawarkan bonus lumayan kepada pekerja sehingga mencecah puluhan ribu ringgit, sekali gus mencuri perhatian ramai.
Perkongsian tersebut bermula apabila seorang pengguna media sosial dikenali sebagai pakteh56 mendakwa pernah berbual dengan pekerja sebuah cawangan syarikat peruncitan berkenaan yang telah berkhidmat selama tujuh tahun.
Menurut dakwaan itu, pekerja berkenaan dikatakan pernah menerima bonus sehingga RM15,000.
Malah syarikat turut meminta nombor akaun ahli keluarga seperti ibu bapa dan adik-beradik untuk dimasukkan sejumlah ganjaran.
“Tadi aku borak dengan budak kerja (nama kedai). Dia cakap pernah sekali dapat bonus RM15k. Syarikat siap minta nombor akaun adik-beradik dan mak ayah dia,” tulis individu tersebut.
Di ruangan komen, beberapa pengguna lain turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila mendakwa bonus diberikan berdasarkan tempoh perkhidmatan pekerja.
“Betul, adik kerja empat tahun, dia kira setahun RM5k. Haritu adik dapat RM20k, suami dia dapat RM25k, dia bagi dua kali.
“Yang pertama masuk akaun adik beradik atau mak bapa yang mereka nak. Stage kedua baru masuk akaun sendiri.
“Untuk tahun depan dah siap ambil nombor akaun ibu bapa untuk bagi duit raya dekat mak bapa, saya kerja pejabat pun tak dapat bonus macam tu,” komen pengguna Threads.
Selain itu, ada juga bekas pekerja mendakwa pernah menerima bonus RM7,000 selepas tiga tahun bekerja di syarikat berkenaan.
“Betul sangat pasal bonus tu. Saya bekas pekerja masa kerja baru tiga tahun dah dapat bonus RM7k,” komen seorang lagi pengguna Threads.
Baca juga: Aliff Syukri minta bimbingan Asyraf Wajdi, nak bertanding jadi wakil rakyat?