Usahawan dan personaliti media sosial sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri kembali mencuri perhatian apabila menyuarakan hasratnya untuk menyertai bidang politik di bawah payung ‘Umno’.
Menerusi perkongsian video dimuat naik di akaun TikTok miliknya, pemilik nama sebenar Aliff Syukri Kamarzaman itu turut menggelarkan diri sendiri sebagai Pemuda Umno kawasan Sungai Buluh.
Usahawan berusia 38 tahun itu juga memohon bimbingan daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai persediaan untuk memasuki gelanggang politik negara.
Personaliti sensasi juga mesra dengan panggilan ‘Papa Laris’ itu turut memohon doa orang ramai agar impiannya untuk menceburkan diri dalam dunia politik berjaya dikabulkan.
“Assalamualaikum, saya Datuk Seri Aliff Syukri selaku Pemuda UMNO mewakili kawasan Sungai Buloh. Yang saya hormati dan juga saya sanjungi iaitu Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
“Semoga tuan boleh membimbing saya untuk menjadi lebih hebat lagi. Semoga dengan kehadiran saya dan tunjuk ajar ‘sifu’, menjadikan saya insan yang lebih baik daripada sebelum ini.
“Kepada anda di luar sana. Mungkin daripada sekadar angan-angan, ia menjadi satu realiti. Doakanlah saya. Rasa-rasa kalau saya bertanding, kawasan manakah yang sesuai?,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna TikTok memiliki pendapat yang berbeza berhubung penyertaan usahawan terbabit dalam dunia politik.
Lebih menarik, perkongsian itu turut mendapat maklum balas Asyraf Wajdi yang meminta Aliff untuk mengisi borang menyertai parti Umno secara atas talian sebelum diberikan kad keahlian.
“Jemput datang ke Konvensyen 80 Tahun Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 2 Mei ini. Boleh isi borang di atas talian, saya sendiri beri kad keahlian pada 2 Mei nanti.” Maklum Asyraf.

Baca juga: Tiga kali Qadejah ambil darah, isteri Aliff Syukri mohon doa agar anak segera sembuh