Zaman sekarang, makin ramai suka kongsi ‘hack’ memasak di media sosial, nampak mudah, cepat dan jimat masa, tapi tak semuanya selamat untuk dicuba.
Tular di media sosial satu perkongsian hack merebus telur bersama nasi dalam periuk elektrik, yang dikatakan lebih mudah dan menjimatkan masa ketika memasak.
Menerusi hantaran tersebut, seorang pengguna memuat naik gambar beberapa biji telur diletakkan terus di dalam periuk nasi ketika proses memasak berlangsung.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai apabila ada yang menganggap kaedah tersebut praktikal, terutama bagi mereka yang mahu menyediakan lauk ringkas tanpa perlu menggunakan periuk berasingan.
Namun, isu itu turut mendapat perhatian Public Health Malaysia yang tampil memberi peringatan mengenai aspek kebersihan dan keselamatan makanan.
Menurut Public Health Malaysia, telur berasal daripada reban ayam dan permukaannya berpotensi membawa kekotoran, najis serta bakteria yang boleh mencemarkan makanan.
“Senang memang senang, tapi ingat telur itu datang dari reban ayam.
“Kalau ada kotoran halus, najis ayam atau bakteria pada permukaan telur, benda itu boleh bercampur dengan nasi.
“Lifehack boleh, tapi hygiene jangan tinggal. Lagi selamat rebus asing atau guna tray kukus.
“Malah telur yang nampak bersih dan tidak retak pun masih boleh membawa Salmonella,” jelas Public Health Malaysia.
Tambah mereka, walaupun telur kelihatan bersih dari luar, risiko pencemaran silang tetap boleh berlaku jika tidak dikendalikan dengan betul.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dalam mencuba teknik memasak yang tular di media sosial agar aspek kebersihan makanan tidak diabaikan.
Baca juga: Lima jenama popular dari Malaysia ini pernah kena ‘claim’ dengan netizen Indonesia