Betul ke Umno Negeri Sembilan bersedia jadi pembangkang? Ini respons Anwar Ibrahim

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas kenyataan daripada pihak Umno Negeri Sembilan yang mendakwa bersedia menjadi pembangkang di negeri tersebut.

Hal ini berikutan Anwar menyifatkan kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias itu sebagai tidak jelas sekali gus tidak sepatutnya diperbesarkan.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menekankan bahawa keutamaan sekarang adalah memastikan kerajaan negeri terus stabil selaras dengan titah institusi diraja dan proses perlembagaan.

Anwar berkata sedemikian selepas diminta mengulas kenyataan Jalaluddin susulan menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Putrajaya, hari ini, lapor Buletin TV3.

“Kenyataan UMNO itu belum jelas, saya tidak mahu ulas bab itu. Cuma sekarang ini kalau isu institusi raja, saya dengar sendiri daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (untuk kekalkan kestabilan politik Negeri Sembilan).

“Isunya tidak berbangkit kerana kita patuh kepada titah diraja dan minta supaya keadaan stabil dan Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) diteruskan (tugasan sebagai Menteri Besar),” katanya memetik laporan itu.

Mengulas lanjut, pihaknya menegaskan bahawa isu tersebut tidak wajar dianggap sebagai krisis yang sudah muktamad selepas mendengar sendiri pandangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sehubungan dengan itu, kerajaan pusat tetap kekal berpegang kepada prinsip yang menyokong sistem beraja sekali gus mematuhi permintaan dalam memastikan pentadbiran negeri terus stabil.

Terdahulu, Datuk Seri Jalaluddin memaklumkan tindakan UMNO itu dibuat kerana pihaknya tidak mahu terpalit dengan kesalahan yang dilakukan Aminuddin yang kononnya terkait krisis adat dan perlembagaan negeri tersebut.

Baca juga: “Tenang betul…” – Pagar, kereta dirempuh remaja, reaksi ‘rare’ tuan rumah jadi perhatian