Rakyat syukur barang asas tak ‘hilang’ dari rak, usaha kerajaan Madani wajar dipuji

Oleh MALAYSIADATELINE

Kemudahan untuk mendapatkan keperluan asas di pasaran dengan harga yang cukup berpatutan membuatkan rakyat Malaysia meluahkan rasa syukur di atas kestabilan ekonomi negara.

Walaupun Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkena tempias diakibatkan krisis bekalan global susulan konflik di Asia Barat, namun rakyat belum merasa kesannya langsung setakat ini.

Perkara ini menjadi topik perbincangan di media sosial selepas wanita yang dikenali sebagai Anisah Samad memuat naik gambar memaparkan harga barang keperluan asas di pasar raya tempatan.

Menerusi hantaran dikongsikan di akaun media sosial Threads miliknya itu, Anisah memuat naik gambar bekalan telur dan minyak masak yang banyak malah harganya juga berpatutan.

Anisah berpendapat bahawa kestabilan bekalan ini berjaya dicapai dengan peringatan konsisten daripada pihak kerajaan agar rakyat bertenang dan tidak melakukan pembelian panik.

“Walaupun ada yang sibuk mempolitikkan segala-galanya, namun realiti di lapangan memberi cerita berbeza. Di tengah-tengah ketegangan global dan ketidaktentuan perang, Malaysia masih berdiri agak stabil.

“Itu bukan terjadi secara kebetulan. Peringatan konsisten oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak kerajaan menunjukkan bahawa mereka bukan tidur. Sebaliknya mencari langkah proaktif untuk menjaga rakyat.

“Kesannya rakyat masih boleh membeli barangan asas dengan harga yang berpatutan. Telur gred B, harganya bawah RM10. Bekalan minyak paket ada berkarton-karton,” katanya dalam perkongsian di akaun Threads miliknya.

Dalam perkongsian yang sama, Anisah juga tidak menyangkal bahawa Kerajaan Madani diterajui oleh Anwar Ibrahim bukan pentadbiran sempurna namun usaha nyata sememangnya wajar dipuji.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna Threads turut bersetuju dengan pendapat Anisah selain berkongsi rasa syukur dengan situasi semasa di Malaysia.

Baca juga: Murid 8 tahun maut, pemandu van kini direman tiga hari