Fahmi sahkan 14 Adun Umno kembali sokong Aminuddin

Oleh ROSLAN ZAMAN

Kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Negeri Sembilan kekal menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Menteri Besar, Aminuddin Harun, sekali gus meredakan kemelut politik yang tercetus sebelum ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata sekiranya terdapat sebarang isu berbangkit selepas ini, ia akan diuruskan oleh pimpinan tertinggi parti berlandaskan perjanjian yang sudah dimeterai semalam antara parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jadi keputusan sekarang ialah Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kekal, maka mereka (14 ADUN) kekal menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Jemaah Menteri pada hari ini turut mengambil maklum bahawa isu yang membabitkan pengurusan pentadbiran Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang sudah berjaya diurus dan diselesaikan dengan baik selepas pertemuan pimpinan tertinggi UMNO dan Pakatan Harapan (PH) semalam.

“Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal mentadbir dengan dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin,” katanya.

Sebelum ini, kesemua 14 ADUN UMNO-Barisan Nasional dilaporkan menarik balik sokongan terhadap Menteri besar Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menunjukkan mereka kini kembali menyokong kerajaan negeri demi kepentingan rakyat dan kestabilan politik.