Krisis global makin parah? Kerajaan dedah kos subsidi melonjak lebih 50 peratus

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Kewangan menjelaskan harga bahan api global ketika ini masih berada dalam keadaan tidak menentu susulan konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan petroleum dunia.

Menerusi infografik yang dikongsikan Kementerian Kewangan, kerajaan memaklumkan harga petroleum mentah dunia terus melonjak melebihi AS$100 setong akibat konflik Asia Barat yang masih berlarutan.

Selain itu, bekalan petroleum global turut berdepan tekanan susulan kerosakan infrastruktur pengeluaran dan penapisan minyak di rantau terbabit.

Menurut kerajaan, situasi perang yang berpanjangan juga menyebabkan kos logistik serta insurans global meningkat, sekali gus memberi kesan kepada rantaian bekalan petroleum dunia.

Dalam masa sama, kerajaan menegaskan lonjakan harga minyak Brent global telah menyebabkan kos subsidi meningkat lebih 50 peratus berbanding sebelum krisis.

Ini terjadi apabila harga minyak mentah meningkat daripada sekitar AS$65 setong kepada melebihi AS$100 setong ketika ini.

Sehubungan itu, Kerajaan MADANI menggalakkan rakyat menggunakan bahan api secara berhemat bagi memastikan kelangsungan bekalan negara dapat dikekalkan dalam keadaan pasaran petroleum global yang masih tidak stabil.

Baca juga: Tempuh perjalanan liku jadi PM, ini momen penting dalam kerjaya politik Anwar Ibrahim