Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menempuh perjalanan panjang yang penuh liku sebelum akhirnya dilantik menjadi pemimpin nombor satu negara pada 24 November 2022.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Anwar kini sudah menerajui pentadbiran Kerajaan Madani dengan mandat berbaki setahun sebelum tempoh penggal tamat pada November 2027.
Menanti selama hampir 24 tahun untuk menjadi Perdana Menteri, berikut peristiwa penting dalam kerjaya Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai ahli politik di Malaysia.
1970-an: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Anwar memulakan kerjaya politik selepas dipilih menjadi Setiausaha Agung ABIM pada tahun 1971 sebelum dilantik sebagai Presiden yang kedua dalam pertubuhan tersebut pada 1974.
Beliau menyertai bantahan di Baling, Kedah pada tahun sama untuk memprotes kemiskinan dalam kalangan masyarakat sebelum ditahan selama 20 bulan tanpa bicara di Pusat Tahanan Kamunting.
Penahanan dibuat kerana melanggar peruntukan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Anwar selaku pemimpin pelajar pernah dilantik sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
1980-an: Kerjaya memecut selepas sertai Umno
Kerjaya Anwar memecut dengan cepat selepas menyertai parti Umno pada 1981 dan bergabung dengan kabinet yang diterajui Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983 sebelum bertukar portfolio menjadi Menteri Pertanian setahun kemudian dan Menteri Pendidikan pada tahun 1986
1990-an: Dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri
Ketika pemilihan Umno pada 1993, Anwar berhasil mengalahkan Tun Abdul Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden Umno yang mendorong rombakan Kabinet sebingga beliau diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam tempoh yang sama, beliau sudah menjadi Menteri Kewangan sebelum dipecat pada 1998 susulan dakwaan rasuah dan menghalang siasatan terhadap tuduhan meliwat.
1998: Mencetuskan Gerakan Reformasi
Pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan perlucutan jawatan dalam parti Umno telah mencetuskan gerakan Reformasi dan penubuhan Parti Keadilan Nasional (kini PKR).
1999 sehingga 2014: Dihimpit pelbagai dakwaan sebelum dihukum penjara
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu perlu menghabiskan masa dalam dua fasa berbeza di dalam penjara selepas dijatuhkan hukuman atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan liwat.
Selepas dijatuhkan hukuman penjara pada 1999, Anwar dibebaskan pada September 2004 apabila Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan kesalahan meliwat terhadap beliau.
Beliau kemudian berusaha membersihkan nama selepas dibebaskan dengan mencabar keputusan pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, namun sayangnya tidak berhasil.
Hal ini berikutan Mahkamah Persekutuan pada 2010 mendapati ia adalah sah dan berlandaskan Perlembagaan malah Anwar perlu menunggu lima tahun sebelum dibenarkan bertanding.
Akhirnya pada 26 Ogos 2008, Anwar berjaya juga kembali ke Parlimen selepas memenangi pilihan raya untuk kerusi Permatang Pauh dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang.
Namun perjalanan tidak berjalan lancar apabila beliau terseret sekali lagi dengan dakwaan liwat namun kali ini membabitkan pembantunya iaitu, Mohd Saiful Bukhari pada tahun sama.
Tuduhan itu bagaimanapun dibatalkan pada 2012 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas hakim memutuskan bukti asid deoksiribonukleik (DNA) dalam kes tersebut diragui kesahihannya.
Pihak pendakwaan bagaimanapun membuat rayuan sebelum Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.
2018: Pengampunan Diraja dan Pembebasan
Pada tahun ini, berlaku Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada bulan Mei di mana Pakatan Harapan (PH) memperoleh kemenangan besar dengan menjaguhkan pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri untuk sementara waktu bagi menunggu proses pengampunan diraja terhadap Anwar selesai agar boleh dibebaskan daripada penjara.
Pada 16 Mei 2018, Anwar akhirnya memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V sebelum bertanding di Port Dickson pada 13 Oktober.
Beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 23,560 undi namun impiannya menjadi Perdana Menteri tidak terkabul apabila berlaku konspirasi ‘tebuk atap’ pada Februari 2020.
Anwar bagaimanapun tidak berputus asa dan kembali bertanding dalam PRU15 di Parlimen Tambun dan berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti undian sebanyak 3,736.
Baca juga: Fahmi sahkan 14 Adun Umno kembali sokong Aminuddin