Umat Islam di Malaysia diingatkan supaya tidak cuba memasuki Tanah Suci secara haram semata-mata mahu menunaikan ibadah haji.
Tindakan itu bukan sahaja dianggap berdosa, malah boleh membawa padah apabila pihak berkuasa Arab Saudi mengenakan denda mencecah 100,000 riyal selain tindakan tegas termasuk penahanan dan pengusiran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, Muzakarah Haji Kebangsaan telah mengeluarkan pandangan berhubung isu tersebut bagi memberi penjelasan kepada umat Islam di negara ini lapor Bernama.
Menurutnya, walaupun ibadah haji tanpa visa tetap sah dari sudut hukum ibadah, perbuatan itu tetap dianggap berdosa kerana melanggar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.
“Sekiranya tertangkap, mereka boleh didenda hingga 100,000 riyal Arab Saudi dan bagi warga asing, mereka boleh dihantar pulang terus ke negara mereka.
“Mana-mana pihak yang membantu atau bersubahat juga boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan dan denda hingga 50,000 riyal Arab Saudi.
“Visa haji ini memang sangat-sangat ketat undang-undangnya… hanya mereka yang punya visa haji sahaja yang boleh menunaikan haji,” katanya seperti dipetik Bernama.
Dalam pada itu, Zulkifli Zulkifli menegaskan Malaysia sering dijadikan penanda aras oleh banyak negara lain dalam aspek pengurusan haji.
Justeru setiap jemaah perlu mematuhi peraturan ditetapkan agar imej itu terus terpelihara.
“Malaysia telah diiktiraf sebagai negara yang mempunyai pengurusan haji terbaik di dunia… ini menunjukkan negara kita mempunyai kayu ukur yang sangat-sangat tinggi.
“Kita tidak mahu ada satu dua kes yang menyebabkan imej negara kita tercalar… jemaah haji kita adalah duta-duta kecil negara kita,” katanya.
Baca juga: “Malaysia makin jauh ninggalin kita!” – Rakyat Indonesia kesal nilai Rupiah jatuh lagi