Dilantik jadi Timbalan Perdana Menteri Wanita Pertama, ini sejarah politik Wan Azizah yang ramai tak tahu

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pernah mencipta sejarah satu ketika dahulu apabila diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia.

Perlantikan dibuat pada 21 Mei 2018 selepas beliau mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Dalam masa yang sama, beliau ketika itu bergelar Ahli Parlimen Pandan turut berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kabinet.

Pastinya orang ramai tertanya-tanya bagaimanakah sosok yang dikenali sebagai seorang isteri taat serta setia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu boleh terjun ke pentas politik.

Berikut rangkuman kerjaya politik Wan Azizah bermula pada sekitar tahun 1998 selepas Anwar yang ketika itu bergelar Timbalan Perdana Menteri ditahan polis dan dipenjarakan.

1998-1999: Wan Azizah menyertai politik demi mendapatkan keadilan buat Anwar dengan menerajui Parti Keadilan Nasional (kini PKR) yang diasaskan oleh suaminya.

Parti diterajuinya bertanding dalam pilihan raya dan berjaya memenangi lima kerusi dalam Parlimen dan Wan Azizah turut diangkat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

2004-2008: Beliau yang merupakan bekas doktor berkhidmat di hospital kerajaan itu berjaya mempertahankan kerusi di Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum berikutnya.

2008: Pada tahun ini, Wan Azizah memutuskan untuk berundur dan meletak jawatan untuk memberikan laluan kepada suaminya kembali ke pentas politik selepas dibebaskan daripada penjara

2014: Anwar kembali dihimpit dakwaan berkaitan liwat dan dihukum penjara selama lima tahun membuatkan Wan Azizah kembali ke pentas politik dan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

2015: Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ujian, beliau tidak mengalah untuk meneruskan perjuangan sehingga berjaya mengekalkan kerusi Permatang Pauh mewakili Pakatan Rakyat (PKR)

2018: Wan Azizah meninggalkan kerusi tradisi keluarga di Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada anaknya, Nurul Izzah Anwar dan bertanding di Parlimen Pandan.

Percaturan berhasil apabila beliau menewaskan empat calon termasuk Leong Kok Wee (BN), Mohamed Sukri Omar (PAS), Jenice Lee dari Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (bebas) dengan majoriti 52,543 undian.

Baca juga: “Bukan kerja saya” – Lelaki baiki sendiri laluan jalan kaki di Kota Bharu, risau orang buta jatuh