“Orang sekarang suka kisah artis kontroversi” – Aliff Syukri dedah sebab pilih selebriti viral

Oleh MAISARAH AISYA

Memang terkenal suka bantu orang susah dan individu yang tengah viral, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri mendedahkan dia pernah dikatakan mengambil kesempatan terhadap artis serta individu yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.

Tidak kisah dengan tohmahan dilemparkan, Aliff memaklumkan bahawa setiap kolaborasi dengan artis yang tular mendapat persetujuan selebriti berkenaan lapor Kosmo! Online.

“Ramai artis yang hubungi saya minta duit, cuma saya tak dedahkan siapa mereka.

“Tiada istilah menangguk atau tidak menangguk di air yang keruh. Kalau bukan saya yang menangguk mungkin ada orang lain yang menangguk. Cuma saya yang terawal.

“Setiap kolaborasi kita bersama artis adalah atas persetujuan artis itu sendiri. Sebab itu kalau orang kata tentang menangguk di air yang keruh, dua-dua pun menangguk.

“Sebagai seorang usahawan, semestinya saya akan pilih orang yang sedang ‘famous’. Siapa yang tengah ‘in’ saya ambil.

“Cuma sekarang ini orang suka tengok artis yang baru lepas cerai, kena pukul, keluar penjara. Inilah realiti,” katanya seperti dipetik Kosmo Online.

Dalam masa sama Aliff mendedahkan ada juga membantu golongan marhaen, cuma ia tidak mendapat perhatian ramai.

“Mereka suruh saya membantu orang ramai, mereka perlu ingat saya ni bukan YB atau menteri. Saya siang malam berniaga sampai mata bengkak.

“Bila jual murah pun mereka minta harga murah lagi,” ujarnya.

Usahawan berusia 39 tahun itu turut menjelaskan jumlah bantuan yang diberikannya bukanlah menggunakan wang miliknya sepenuhnya

“Kalau orang tengok jumlah yang saya beri itu tinggi, sebenarnya itu bukanlah duit saya 100 peratus.

“Ini adalah duit daripada pusat zakat yang saya zakatkan menerusi perniagaan saya selain daripada duit orang ramai yang membeli produk saya,” kongsinya.

Baca juga: Wang kertas RM1 tandatangan Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman cecah RM6,000 sekeping